BARU-baru ini, isu mengenai ramai pesara yang ingin kembali ke pasaran pekerjaan sedang hangat dibincangkan disebabkan beberapa faktor, seperti simpanan yang tidak mencukupi, kos sara hidup yang lebih tinggi, jangka hayat yang lebih tinggi dan komitmen kewangan. Selain itu, ada juga yang memilih untuk terus bekerja kerana tidak mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bersara. Mereka berasa bosan berada di rumah tanpa bekerja. Ramai yang memilih untuk mencari pekerjaan yang tidak menggunakan banyak kudrat seperti pensyarah, pengurus dan banyak lagi.
Walau bagaimanapun, isu tersebut telah mencetuskan perdebatan kerana masalah pengangguran yang tinggi dan ramai graduan tidak memperolehi pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka. Seramai 733,000 orang menganggur pada tahun lepas dan
terdapat 15,797,200 tenaga buruh di Malaysia. Hanya 15,064,200 orang sahaja memperolehi pekerjaan. Angka itu tidak termasuk mereka yang terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka.
Jika isu ini tidak dipandang serius dan lebih ramai pesara terus bekerja, kadar pengangguran mungkin terus meningkat disebabkan peningkatan tenaga buruh, dan masalah graduan tidak memperolehi pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka juga terus meningkat. Ramai graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian mereka sukar memperolehi pekerjaan yang bagus dan ada yang terpaksa menerima pekerjaan apa pun meskipun bergaji rendah demi meneruskan kelangsungan hidup.
Kajian mendapati purata produktiviti pekerja mecapai kemuncak pada usia antara 35 dan 44. Ini menunjukkan bahawa pekerja yang lebih berusia daripada itu dianggap sebagai kurang produktif. Pekerjaan yang melibatkan banyak pergerakan fizikal mungkin tidak sesuai dengan mereka. Oleh itu, sekiranya mereka terus bekerja, ia mungkinmenjejaskan produktiviti negara, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi negata. Ini telah dibuktikan dengan beberapa kajian yang telah menunjukkan bahawa peningkatan populasi yang semakin berusia boleh menyebabkan ekonomi berkembang pada kadar yang lebih perlahan.
Selain itu, golongan berusia lebih cenderung mendapat penyakit. Oleh itu, tekanan dan keletihan di tempat kerja boleh menyebabkan mereka lebih berisiko tinggi untuk mendapat pelabagai penyakit. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada jenis pekerjaan. Jika pekerjaan memerlukan pekerja yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan, pekerja berusia mungkin diperlukan.
Pensyarah, penggubal dasar dan pengurus masih boleh memberi sumbangan besar kepada produktiviti kerana pengalaman kerja mereka selama bertahun-tahun. Namun, sekiranya kita melihat keadaan semasa di mana masih ramai lagi graduan
yang tidak memperolehi pekerjaan yang setimpal dengan kelayan mereka dan ada yang masih menganggur dalam tempoh jangka masa yang panjang, golongan pesara perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk mengganti memikul tanngungjawab mereka. Sampai bila kita perlu bergantung kepada golongan berusia untuk terus bekerja dan tidak mempercayai generasi muda?
Dr Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis