Kok Ling (kanan) mengaku bersalah atas pertuduhan cuba merasuah seorang pegawai penguat kuasa MBIB selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada tadi.

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang adik untuk membantu abangnya daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membawa padah apabila dia akhirnya dihukum penjara sehari dan denda RM10,000.

Phang Kok Ling, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada seorang pegawai MBIP pada 12 April lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kok Ling didakwa memberi suapan kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa MBIP, Shah Rizal Abdul Hamid sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat Lotus Reflexology Spa Sdn. Bhd.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat ejen kerajaan berkenaan kerana premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan perniagaan serta kesalahan mempamer iklan tanpa lesen pihak berkuasa tempatan.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang hadir menemani abangnya di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP pada 11 April lalu telah menawarkan rasuah kepada pegawai penguatkuasa itu sebagai tanda kawan dan supaya tidak mengambil tindakan lagi pada masa akan datang.

Walaupun ketika kejadian dia diberi amaran sebanyak tiga kali bahawa tindakannya itu merupakan satu kesalahan, tertuduh tetap menghulurkan wang RM1,500 itu sebelum meletakkannya di atas meja.

Pegawai penguatkuasa terbabit kemudian membuat tangkapan ke atas tertuduh dan membawanya ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keesokan hari untuk membuat aduan sebelum tertuduh ditahan semula SPRM.

Terdahulu, peguam tertuduh, Goh Sze Han memberitahu, tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor dengan pendapatan bulanan RM4,000 mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak yang berusia 5 dan 1 tahun.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail kemudian memerintahkan hukuman penjara sehari bermula hari ini di Penjara Kluang beserta denda RM10,000, jika gagal bayar tiga bulan penjara.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast