Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose bercakap pada sidang media selepas Program Perbincangan Meja Bulat berkaitan Tuntutan Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia di Country Heights, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Perbincangan berkaitan isu tuntutan kumpulan Sulu oleh mana-mana pihak perlu fokus kepada penyelesaian yang tuntas.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, isu berkenaan sekiranya dibincangkan di dalam Dewan Rakyat atau oleh pihak-pihak berkepentingan perlu mengambil kira aspek yang membawa kepada kebaikan negara.

Katanya, MPN turut sama memainkan peranan dalam membantu usaha membawa keluar kemelut yang berlaku agar tidak menjadi beban yang berpanjangan.

“Kita menyedari bahawa terdapat usul-usul yang telah dibawa oleh ahli Parlimen untuk dijadikan agenda dalam Dewan Rakyat hingga terakhirnya speaker telah menolak atas alasan subjudis dan sebagainya.

“Itu kita tidak mencampuri…apa yang kita pastikan sebagai sebuah negara kita perlu mengambil langkah-langkah yang kita anggap sesuai.

“Dulu bila ada sahaja dibawa kita senyap sahaja tapi tidak lagi berlaku macam itu dan kita mencari segala ruang dan juga strategi sebagai sebuah negara untuk menangani isu ini,” katanya kepada media selepas mesyuarat Meja Bulat Isu Tuntutan Pewaris Sulu terhadap Malaysia di Kajang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kewajaran untuk ahli-ahli Parlimen blok pembangkang membawa usul membahaskan perkara tersebut di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy diusir keluar daripada mengikuti sidang Dewan Rakyat gara-gara usul berkaitan tuntutan Sulu.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Isnaraissah Munirah keluar selepas mempertikaikan keengganan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan membenarkan isu rampasan aset Petronas oleh waris Kesultanan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Usul yang dibawa Isnaraissah telah ditolak untuk kali ketiga.

Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa ahli Parlimen dari Sabah tidak berpuas hati usul itu ditolak dan Isnaraissah digantung dua hari.

Isnaraissah juga memohon ahli-ahli Parlimen Sabah menyokongnya supaya usul mengenai tuntutan Sulu dibahaskan.

Bagaimanapun, Azhar meminta Isnaraissah tidak mengganggu dewan dan memutuskan usul itu ditolak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast