Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pembangunan subsidi bersasar memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum ia sedia untuk dilaksanakan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, kajian subsidi bersasar masih lagi di peringkat ujian dalam usaha mewujudkan mekanisme pemberian subsidi petrol.

Katanya, pelaksanaan itu memerlukan pengujian lebih meluas daripada segi kaedah pemberian subsidi dan kebolehlaksanaan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Pembangunan subsidi bersasar juga memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum kita betul-betul bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.

“Dalam pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan juga merancang pelaksanaan ini secara berfasa bagi memastikan ianya tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjelaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini

Menurut Tengku Zafrul, pelaksanaan subsidi bersasar akan dilakukan secara berfasa.

Ini bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi naik secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi.

“Ini selaras dengan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan untuk ayam di mana bagi mengurangkan herotan pasaran (market distortions), Kerajaan telah meningkatkan harga siling ayam sebanyak 50 sen sekilogram, tetapi pada masa yang sama memberi bantuan tunai tambahan kepada golongan B40.

“Sejajar dengan pendekatan ini, Kerajaan tidak akan menaikkan harga petroleum terus kepada harga pasaran tanpa subsidi memandangkan impaknya kepada inflasi, walaupun harga RON95 pada RM2.05 se liter adalah lebih kurang 50 peratus daripada kos/harga sebenar tanpa subsidi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, keadaan inflasi di Malaysia masih terkawal dan berada dalam keadaan sederhana.

Tambah beliau, kadar inflasi di negara ini masih rendah berbanding negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang mencatatkan 9 peratus.

“Kadar inflasi di Malaysia adalah terkawal, pada kadar 2.2 peratus untuk tempoh suku pertama dan kedua 2022. Tetapi baru-baru ini, mencatat 2.8 peratus untuk bulan Mei ada kenaikan sedikit manalaka pada bulan yang sama di negeri-negeri maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mencecah 9 peratus manakala Thailand 7 peratus dan Filipina lebih 7 peratus.

“Jadi kadar inflasi Malaysia boleh dianggap sederhana berikutan kawalan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas. Disamping penyediaan subsidi kerajaan juga menyediakan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah.

“Bantuan Keluarga Malaysia merupakan bantuan tunai langsung dan peruntukan RM8 bilion,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast