Tangkap layar menunjukkan suspek yang didakwa curi getah sekerap dibelasah penduduk di Kampung Nai Teh, Kuala Nerang, Kedah semalam.

KUALA NERANG – Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki cedera dibelasah penduduk kampung selepas didakwa mencuri getah sekerap  di Kampung Nai Teh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya mengesan dua video membabitkan kejadian itu tular di media sosial kira-kira pukul 2.26 petang tadi.

Dua video masing-masing berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berlumuran darah di kepala manakala satu lagi video menunjukkan motosikal lelaki tersebut dibakar beberapa individu.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku semalam pukul 8.10 malam di tepi jalan Kampung Nai Teh, Kuala Nerang dan satu laporan polis diterima bersabit kes curi tersebut.

“Suspek diserahkan kepada polis dalam keadaan cedera di beberapa bahagian badan sebelum lelaki itu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mulkiaman, susulan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana didakwa mencuri.

“Bagaimanapun, kita turut buka dua lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api serta Seksyen 324 akta sama kerana mendatangkan kecederaan.

“Kita nasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan dan menyebarkannya kerana kes masih dalam siasatan pihak polis,” kata Mulkiaman. – MalaysiaGazette