Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi . Foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah bebas dicekup polis kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dikenalinya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa kira-kira jam 11.15 malam Sabtu lalu.

Katanya, dalam aduan itu, mangsa mendakwa telah dirogol oleh seorang penceramah bebas bergelar ustaz.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, pengadu iaitu mangsa kanak-kanak perempuan itu telah telah berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu sejak bulan Mei 2021.

“Bermula dari perkenalan tersebut, pengadu dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi yang berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat laporan mangsa, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah menahan suspek pada jam 4.50 petang semalam di IPD itu.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, polis juga telah mendapat perintah kebenaran reman terhadap suspek selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Setakat ini, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak melibatkan pengadu yang sama, ujarnya.

Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan, tambah beliau. – MalaysiaGazette