K. Yogeswaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Temerloh atas empat pertuduhan hari ini.

TEMERLOH – Seorang penganggur didakwa atas empat pertuduhan berbeza termasuk melakukan pembunuhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini.

Dalam pertuduhan pertama, K. Yogeswaran, 33, didakwa menyebabkan kematian Siti Zulliana Said, 52, di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera pada jam antara 6.30 pagi hingga 8.00 pagi pada 5 Julai lalu.

Kesalahan jenayah itu di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.

Mahkamah kemudiannya memutuskan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat serta tiada jaminan ditawarkan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta Honda City berwarna perak milik suami mangsa, Mohd Haris Ibrahim, 58,  antara pukul 6.30 hingga 8.30 pagi pada 5 Julai lalu.

Yogeswaran telah dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan itu mahkamah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Menurut pertuduhan ketiga, Yogeswaran didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera lebih kurang pukul 12 tengahari pada 8 Julai lalu.

Dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) dan dibaca dengan Seksyen 38B akta yang sama.

Tertuduh mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Oktober ini.

Kemudian dia juga didakwa dengan curang telah melakukan rompakan wang tunai bernilai RM9,300 milik Mohd. Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher mangsa.

Beliau mengaku salah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Norakmar Mohd Sani dan pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri dan Ezuain Farhana Ahmad.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Ogos depan dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan  insiden seorang wanita berusia 52 tahun maut setelah dijerut menggunakan kabel pengecas telefon  di kediamannya di Felda Mengkuang, Bera  pada 5 Julai lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita maut dijerut kabel pengecas telefon