Ismail Sabri Yaakob PM harassing Prime Minister UMNO
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Penjimatan sebanyak lima peratus daripada baki peruntukan mengurus bajet 2022 tidak akan melibatkan keselamatan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penjimatan tersebut akan dibuat menerusi projek pembangunan yang belum dilaksanakan dan dalam perancangan.

“(Bajet berkaitan keselamatan) tak terjejas. Keselamatan mesti jadi keutamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 samada melibatkan bajet keselamatan negara atau tidak.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengumumkan usaha kerajaan itu adalah bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, ketika diminta perincian mengenai bajet tersebut Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan. – MalaysiaGazette