Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi mencadangkan ringgit ditambat kepada bakul komoditi supaya nilai mata wang negara tidak terus lemah.

Namun menurut Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya,Dr.  Ahmed Razman Abdul Latiff, ringgit tidak semestinya perlu diikat pada komoditi emas seperti yang dicadangkan banyak pihak.

Ini kerana Malaysia bukan pengeluar emas tetapi ringgit boleh ditambat pada komoditi-komoditi yang dikeluarkan Malaysia seperti petroleum, minyak masak atau beras.

“Saya melihat nilai ringgit semakin lemah dan kuasa beli juga berkurangan.

“Apakah penyelesaian kepada perkara itu?

“Jadi, saya lihat kerajaan perlu memastikan nilai matawang kita tak jatuh.

Temubual eksklusif bersama Penganalisis Ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff di UPM Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JULAI 2022.

“Kita balik kepada asal, contohnya selepas Perang Dunia Kedua, menerusi Perjanjian Bretton Woods, dolar Amerika ditambat kepada emas dan ia menjadi stabil kerana tiada negara boleh mencetak duit,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambahan pula katanya, terdapat teknologi yang membolehkan matawang ditambat kepada komoditi.

Malah, Dr. Ahmed Razman berkata, di Malaysia sendiri, Bank Negara sedang meneliti kewujudan wang daulat (sovereign money) iaitu Matawang Digital Bank Pusat (CBDC) menggunakan teknologi blockchain.

“Bayangkan CBDC digunakan sebagai wang daulat tetapi ditambatkan pada komoditi kerana sekarang ada teknologi membolehkan perkara itu.

“Ini pastinya akan  mengukuhkan ringgit dan memastikan segala gaji yang kita dapat setiap bulan itu tidak susut selama bertahun,” ujarnya lagi.

Justeru Dr. Ahmed Razman berpendapat, ini adalah peluang terbaik kerajaan untuk meletakkan nilai kepada matawang Malaysia dengan menjadikan ringgit bukan lagi matawang fiat yang mana apabila ditambat kepada komoditi, rakyat tidak lagi hilang kuasa beli.- MalaysiaGazette