Polis menahan tujuh suspek disyaki terlibat dalam insiden pembunuhan seorng bekas ahli perniagaan yang ditembak mati ketika pulang bermain mahjong.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes seorang bekas ahli perniagaan yang ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara di sini pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek ditahan itu adalah berusia antara 27 hingga 43 tahun.

Kesemua suspek warga tempatan itu diberkas dalam beberapa serbuan secara berasingan di beberapa negeri iaitu Johor dan Perak pada Khamis dan Jumaat lalu.

“Seramai empat lelaki ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Nusa Bayu lskandar Putri, Johor Bahru pukul 1.30 petang Khamis lalu.

“Pasukan kita kemudian telah melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki lagi suspek warga tempatan pukul 3.45 pagi di Taman Pulai Jaya dan Bandar Baru Putra, Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas ahli perniagaan mati ditembak selepas main mahjong

Tambah Azmi, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas enam buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Kia Optima K5 warna putih dan sebuah kereta Proton Wira warna hijau.

“Namun motif utama kejadian pembunuhan itu masih dalam siasatan lanjut. Justeru, semakan lanjut polis juga mendapati tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Kesemua suspek itu kini telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Pada 12 Julai lalu, seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang merupakan bekas ahli perniagaan telah disyaki ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1 di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor yang mengesahkan kejadian itu menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pukul 12.09 tengah malam.

“Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa selesai bermain mahjong dan keluar dari rumah terbabit menuju ke kereta jenis Toyota Vellfire miliknya yang diparkir di luar kawasan perumahan berkenaan,” tegasnya.

Saksi kejadian mengatakan melihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta.

Menurutnya, tidak berapa lama kemudian, saksi terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta dan kemudian mendapati mangsa terbaring di sebelah kereta dalam keadaan berlumuran darah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast