KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli didakwa melakukan serangan ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan harapan akan dikenali dan popular semula.
Serangan ke atas Najib adalah pilihan yang Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ada.
Ia termasuklah membuat laporan polis di seluruh negara terhadap bekas Perdana Menteri itu, dakwa Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
”Siapa Rafizi Ramli ? Dikenali sebagai Pakar Fomula PKR. Namun semua formula yang dikemukakannya ‘kelaut’.
”Kini muncul kembali. Mudah sahaja untuk dianalisa. Beliau mahu kembali dikenali dan mengharap popular semula.
”Apa cara dan pilihan yang beliau ada? Serang Najib Razak. Kerana itu beliau menyerang termasuklah membuat laporan Polis seluruh negara terhadap Najib Razak,” katanya.
Ahli Parlimen Lenggong itu percaya, rakyat sekarang bijak menilai tindak-tanduk Rafizi.
Ini kerana, apa yang sudah terjadi di Malaysia sekarang berpunca apabila pentadbiran dan dasar negara yang lemah semasa Pakatan Harapan memerintah.
Nasihatnya, rakyat jangan sekali lagi menggadaikan masa depan negara dengan formula yang tak masuk akal, apatah lagi dikemukakan oleh Rafizi. – MalaysiaGazette