Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyemak semula subsidi minyak masak peket berjumlah RM4 bilion bagi mengelak berlaku penyelewengan pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata,  kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi setiap tahun akibat penyelewengan itu.

Beliau berkata, hal itu juga menyebabkan sebilangan besar rakyat marhain terpaksa mencatu penggunaan minyak masak selain berebut untuk membelinya di pasar raya dan kedai runcit.

“Kita dapati ada juga perniagaan peniaga kecil terjejas berikutan subsidi minyak botol yang telah ditarik balik sejak diperkenalkan awal tahun lalu kerana harganya cukup tinggi melebihi daripada kos seharian.

“Keadaan ini bertambah buruk apabila ada yang mengaitkan kekurangan stok minyak masak peket ini berpunca daripada aktiviti penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Afiq Salim

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menjelaskan, pelbagai langkah jangka panjang dan pendek sudah dirangka kerajaan termasuk melaksanakan operasi pemutihan dan pengauditan di setiap kilang pengeluar serta pembungkusan.

Katanya, agensi penguat kuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggu (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan untuk menggempur kilang yang dikenalpasti melakukan kesalahan termasuk mengawal lebih ketat sempadan negara.

Menurut Mohd Afiq, pihak berwajib perlu membanteras sehingga ke akar umbi kegiatan itu kerana melibatkan dana kerajaan berbilion ringgit setiap tahun.

“Langkah drastik wajar dipertimbangkan untuk menyekat ketirisan ini seperti mengetatkan kawalan sempadan, menyekat jual beli secara atas talian dan mewajibkan setiap pasar raya mengehadkan pembelian tiga peket untuk seisi keluarga.

“Untuk jangka masa panjang pula, kerajaan perlu kepada pengawalan menyeluruh dengan memperkenalkan elemen teknologi seperti pengawalan sempadan menggunakan teknologi yang lebih canggih.

“Pembelian untuk kegunaan domestik secara face recognition dan integrasi data iaitu penggunaan Mykad untuk pembelian barangan bersubsidi juga harus dipertimbangkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette