Zalina Shaharah Azman

KUALA LUMPUR – Bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas dipercayai masih berada dalam negara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan pihaknya mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen.

Mohd Iqbal berkata, setakat ini pihaknya turut mengesahkan tiada laporan polis dibuat oleh orang awam selepas hebahan berhubung kehilangan Zalina Shaharah, 58, dilakukan polis.

Pagi tadi sebuah portal hiburan tempatan melaporkan terdapat individu yang mendakwa melihat seorang wanita seperti Zalina Shaharah pada Ahad lepas menerusi Twitter miliknya, Mosyuki Borhan.

Wanita yang didakwa mirip Zalina Shaharah itu muncul di kafe miliknya di Seksyen 9, Shah Alam kira-kira jam 1 tengah hari dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas.

Zalina Shaharah dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. – MalaysiaGazette