PUTRAJAYA- Jumlah dagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka 43.4 peratus, tahun ke tahun pada Jun 2022 untuk mencapai paras tertinggi baharu RM270.4 bilion.
Eksport bernilai RM146.2 bilion, meningkat 38.8 peratus berbanding Jun 2021, meningkat bagi bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import melonjak 49.3 peratus daripada RM83.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM124.2 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan positif 38.8 peratus pada Jun 2022 dirangsang oleh prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik bernilai RM110.6 bilion, menyumbang 75.7 peratus kepada jumlah eksport Malaysia, berkembang kukuh 30.6 peratus, tahun ke tahun.
Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM35.6 bilion, meningkat 72.2 peratus.
Selaras dengan prestasi eksport, import pada Jun 2022 juga mengekalkan momentum pertumbuhannya 49.3 peratus untuk mencecah nilai tertinggi baharu pada RM124.2 bilion.
Mengambil kira pengembangan import yang lebih tinggi berbanding eksport, lebihan dagangan menyusut 0.8 peratus kepada RM21.9 bilion, lebihan dagangan yang ke-26 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Di samping itu, Prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan peningkatan masing-masing 18.4 peratus, 21.3 peratus, 15.2 peratus dan 72.7 peratus berbanding Mei 2022.
Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 189 daripada 252 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipaju oleh injap & tiub termionik.
Bagi import, 198 daripada 259 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan eksport disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM9.0 bilion), Amerika Syarikat (+RM3.9 bilion), Kesatuan Eropah (+RM3.5 bilion), Jepun (+RM3.1 bilion), Hong Kong (+RM2.7 bilion), Indonesia (+RM2.3 bilion), Bangladesh (+RM2.1 bilion), India (+RM1.5 bilion) dan Republik Korea ( +RM1.5 bilion).
Sementara itu, penyumbang utama peningkatan import diterajui oleh Singapura dengan nilai peningkatan RM8.8 bilion. Ia diikuti oleh China (+RM5.8 bilion), Taiwan (+RM3.6 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.4 bilion), Arab Saudi (+RM2.1 bilion), Indonesia (+RM2.0 bilion) dan Australia (+RM1.9 bilion).
Peningkatan eksport pula didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM15.2 bilion); keluaran petroleum (+RM9.9 bilion); gas asli cecair (+RM3.8 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.7 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.4 bilion); petroleum mentah (+RM1.4 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM1.0 bilion).
Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (+RM11.7 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM9.3 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM2.6 bilion); petroleum mentah (+RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM2.1 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.9 bilion) dan emas, bukan bentuk wang (+RM1.8 bilion). – MalaysiaGazette