KUALA LUMPUR – Persoalan mengenai cabaran yang dihadapi sektor agromakanan dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara kekal stabil dan lancar antara topik yang dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Charles Anthony Santiago (PH-Klang) pula bertanyakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekiranya kementerian itu mempunyai rancangan memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Isu mengenai masalah bank scam yang kerap berlaku melibatkan wang dalam akaun pendeposit bank dipindah tanpa pengetahuan pula disentuh Chong Chieng Jen (PH-Stampin) melalui soalan yang diajukan kepada Menteri Kewangan.
Beliau bertanyakan mengenai dasar dan langkah yang akan diambil oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi mengatasi perkara itu, selain langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat ke atas keselamatan wang mereka di bank.
Selesai sesi tersebut, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – BERNAMA