KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini tampil memberikan penjelasan mengapa beliau enggan menerima usul tuntutan Sulu semalam.
Menurutnya, keputusan itu diambil bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu tidak diketahui pihak lawan.
“Kita sedang berbicara tentang tuntutan Sulu ini. Ada ex-parte order (yang mana) kita kena bayar USD15 bilion. Mahukah kita berbincang dan sedang perbincangan itu berjalan (apabila dibahaskan) dan kita tidak tahu apa yang akan diperkatakan.
“Maka dengan itu terserlah strategi kerajaan untuk berbuat itu dan ini (kerana) akan adalah kritikan terhadap tindakan yang akan dibuat atau telah diambil kerajaan.
“Keadaan ini pastinya boleh membuatkan pihak satu lagi membacanya (strategi Malaysia). Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan di dalam prosiding litigasi tersebut?” soalnya.
Penjelasan itu diperincikan Azhar Azizan ekoran desakan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kembali mempersoalkan keputusan beliau di mana tidak meluluskan usul untuk membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu.
Ujarnya, Malaysia tidak seharusnya menunjukkan sebarang strategi bagi mengelak pihak luar boleh mengambil sesuatu yang diperkatakan itu sebagai ‘senjata’ mereka.
“Sekarang ini kita sedang pertahankan kedaulatan kita (walaupun) ada ahli berhormat yang kata tidak pertahankan (tetapi sebenarnya) kita sedang pertahankan. Kita sedang pertahankan dan kita (juga) sedang dedahkan strategi kepada orang lain.
“Mahukah kita berbuat begitu? Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk tidak membenarkan perkara ini (bahas tuntutan warisa kesultanan Sulu di Dewan Rakyat),” ujarnya lagi.
Hari pertama sesi Dewan Rakyat penggal kelima Parlimen ke 14 Isnin lalu menyaksikan Isnaraissah Munirah (Warisan-Kota Belud) digantung selama dua hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ekoran tindakannya mempertikai keputusan Azhar Azizan yang menolak usul yang dikemukakan beliau.
Antara perkara yang dipertikaikannya adalah kelewatan kerajaan membuat permohonan untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris. – MalaysiaGazette