KEPUTUSAN beberapa buah universiti menutup program-program tertentu walau mungkin dilihat tidak disenangi segelintir pihak-pihak tertentu, tetapi ia adalah suatu keputusan wajar demi masa hadapan bakal graduan. Syabas kepada para profesor
juga Naib Canselor universiti-universiti yang akhirnya mengambil tindakan berani ini, penulis kira setelah mengambil pandangan pelbagai pihak. Penawaran pelbagai jenis kursus yang kurang berdaya saing ini bukanlah suatu isu baharu malah sudah lama diutarakan, hanya mungkin kerana budaya akademik yang sukar berubah atau kurang kebebasan dalam membuat keputusan.
Seawal hujung tahun 90-an kelihatan penubuhan pelbagai pusat asasi, matrikulasi juga pertumbuhan pelbagai universiti dan kolej awam dan swasta merupakan lonjakan hasil perkembangan ekonomi yang pesat ketika itu. Kerajaan ketika itu mengorak langkah yang bijak dengan membuat pelaburan yang besar dalam bidang pendidikan dengan penubuhan pusat-pusat pendidikan tersebut juga penawaran pelbagai biasiswa dan pinjaman. Namun di sebalik keghairahan pertumbuhan pusat pendidikan tersebut, satu perkara yang mungkin terlepas pandang ialah penawaran pelbagai subjek dan program adakah benar-benar memenuhi keperluan, aspirasi dan realiti negara? Ini bukan sahaja terhad pada pelajar di dalam negara malah pelajar-pelajar yang dihantar ke luar negara juga.
Bagi pelajar-pelajar yang dihantar ke luar negara , ada bidang yang dihantar terlalu maju terkedepan kerana perkembangan pesat teknologi terlalu pesat di negara tersebut. Malangnya kebolehan terkedepan ini tidak dapat dimanfaatkan apabila sekembalinya pelajar ke negara, ilmu tersebut tidak dapat dimanfaatkan kerana negara kekurangan teknologi ketika itu.Kini penawaran biasiswa ke luar negara pula bagi setengah bidang hanya terhad pada satu bidang asas sahaja dan bukanlah kursus bertahap profesional.Persoalannya apakah bidang kerja yang boleh dikembangkan sekembalinya pelajar pulang kelak? Penulis melihat pelajar mungkin setakat boleh bekerja di sekolah atau universiti sahaja dan kurang peluang bekerja di sektor swasta.
Penulis sehingga kini terfikir pernahkah ada ruang untuk naib-naib canselor juga pentadbiran universiti juga kolej bersemuka dengan industri-industri terlibat, juga pihak-pihak kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi juga Kementerian Sumber Manusia.Pertemuan juga perbincangan meja bulat antara pihak-pihak tersebut adalah perlu bagi membincangkan secara terus nasib graduan kelak selepas tamat pengajian. Antara perkara pokok yang perlu dibincangkan ialah kesesuaian subjek atau program di universiti dengan kehendak pasaran kerjaya semasa.Ini sepatutnya tidak terhad kepada beberapa fakulti sahaja tetapi secara menyeluruh bagi menjamin masa depan pelajar, universiti dan industri.Saranan agar universiti kalis masa hadapan (talent proof) oleh Profesor Dr Xiangyun Du dan Profesor Madya Dr Afandi Ahmad , adalah satu saranan yang perlu diperhalusi oleh cerdik pandai negara.Ini adalah salah satu saranan mengurangkan kebergantungan pada majikan kerajaan dan swasta.
Penulis pernah bertanyakan seorang rakan pensyarah di universiti tersohor akan satu program akademik, apakah jaminan kerjaya pelajar untuk program tersebut.Rakan penulis setakat mengangkat bahu dan menyatakan program itu telah lama bertapak di universiti dan tiada ura-ura untuk program itu ditamatkan.Ada sebuah universiti pula menawarkan program yang beraspirasi tinggi dari filem Hollywood, namun dikatakan ramai graduan program tersebut masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan seperti yang dijanjikan. Ini disebabkan negara masih tiada infrastruktur untuk mengadakan makmal sebegitu seperti di luar negara.
Menurut pengamatan penulis jika dari segi realiti dan logik dalam keadaan infrastruktur negara memanglah amat sukar untuk menempatkan pelajar-pelajar tersebut penawaran pekerjaan kelak.Namun universiti tersebut masih dilihat menawarkan program tersebut.Nasiblah generasi pelajar terdahulu tidaklah terlalu lantang seperti pelajar hari ini yang menggunakan media sosial secara berleluasa, lalu menghentam dasar, polisi dan tatacara universiti yang tidak kena di mata. Menurut hemat penulis yang pernah menjadi pelajar dan pengajar yang belajar di dalam dan luar negara, juga bekerja dalam pelbagai industri,pihak kolej dan universiti, perlu berfikir secara lebih realistik melihat kepada keperluan industri.
Di dalam Malaysia secara dasarnya hanya ada dua pihak yang mampu menawarkan peluang pekerjaan iaitu kerajaan dan swasta selain memilih untuk bekerja sendiri.Penulis melihat agar sukar untuk dapat diterima masuk bekerja dengan kerajaan pusat atau negeri, melainkan jika ianya bersesuaian dengan kelayakan dan keperluan juga karenah biokrasi.Selain itu jika hendak bekerja di pihak swasta pula persaingan agak sengit antara graduan kolej dan universiti,diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD. Oleh itu universiti selain menawarkan kursus-kursus yang hebat-hebat bertaraf profesional seperti sarjana muda kejuruteraan, perubatan dan undang-undang, perlu juga mewujudkan kursus-kursus bertahap sijil dan diploma berbentuk kemahiran juga, walaupun bidang tersebut kurang ternama tetapi mempunyai banyak peluang kerjaya, atau secara ringkasnya kemahiran separa tinggi.
Maklumat keperluan kerjaya semasa boleh dicari semudah ABC di hujung jari sama ada secara carian di internet atau di surat khabar.Dari situlah bahagian sumber manusia, pelajar juga pihak universiti akan sedar apakah kerjaya dambaan majikan kini. Jika hal kerjaya ini tidak diatasi maka generasi akan datang akan ketiadaan peluang pekerjaan, lalu apabila mereka berhijrah ke luar negara, maka akan terjadilah ‘brain drain’ di dalam negara.Ini akan merugikan negara dan sumber tenaga pada masa akan datang. Jika benar-benar negara tidak mampu memberi pekerjaan kepada graduan, maka negara sepatutnya berlapang dada jika tenaga kerja rakyat negara ini berhijrah dan tidak mengecam mereka sebagai tidak patriotik. Lihatlah setengah negara yang menggalakkan rakyatnya bekerja di luar negara dan menjadi salah satu sumber pendapatan negaranya antaranya seperti saranan dan memorandum persefahaman diterajui YB Menteri Kesihatan dan United Kingdom.
Noor Dzuhaidah Osman
Syahirah Abdul Shukor
Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia