Lelaki warga asing ditemui mati terbaring manakala dua lagi parah dalam satu pergaduhan di Jalan Tun H.S.Lee petang tadi.- Gambar ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis telah mempergiatkan usaha mengesan  identiti seorang suspek utama yang dikehendaki dalam satu kes bunuh di Jalan Tun H.S Lee hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mangsa membabitkan tiga orang individu dan salah seorangnya telah meninggal dunia.

Terdahulu, katanya, polis telah menerima maklumat orang awam berkaitan satu insiden pergaduhan di lokasi berkenaan pukul 2.26 petang tadi .

“Bertindak atas aduan itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian itu. Siasatan menjumpai tiga lelaki warga asing berusia 30 tahun hingga 40 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada lelaki berkenaan sudah meninggal dunia dan mangsa dipercayai parah akibat ditikam dengan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Noor Delhan, dua lagi lelaki warga asing yang telah mengalami cedera parah di bahagian badan dalam pergaduhan itu telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Susulan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi berjaya menangkap seorang lelaki bukan warganegara yang berusia 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan itu bagi membantu siasatan dalam kes yang sama hari ini.

Polis juga dengan bantuan forensik berjaya menemui senjata tajam pada jarak 50 meter daripada tempat mangsa terbaring dipercayai senjata yang digunakan suspek.

“Suspek akan direman pada 20 Julai 2022 (esok) di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

“Pasukan kami kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek utama yang terbabit dalam kes bunuh itu dan yakin dapat menjejaki serta mencekup suspek.

Menurutnya, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan dan polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan. – MalaysiaGazette