KUALA LUMPUR – Indonesia dan Thailand akan mempunyai Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sekiranya sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri di kedua-dua negara tersebut.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat sindiran berkenaan selepas Mahathir menyatakan projek HSR Kuala Lumpur ke Singapura tidak diperlukan kerana jaraknya terlalu pendek iaitu sepanjang 350 kilometer (KM).
Menurut Najib, jarak landasan projek HSR di Indonesia dan Thailand yang kini dalam pembinaan adalah lebih pendek berbanding Malaysia iaitu masing-masing 142km dan 253km.
“HSR pertama Malaysia dari Kuala Lumpur ke Singapura yang ditangguh oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan dibatalkan Kerajaan Perikatan Nasional jarak 350km.
“Nasib baik Tun M bukan PM di Indonesia dan Thailand sebab tak adalah negara-negara jiran tersebut buat projek HSR sebab jaraknya lagi pendek berbanding HSR KL-Singapura.
“Lagipun, Tun M macam tidak faham bahawa sektor KL-Singapura merupakan sektor penerbangan antara paling sibuk dalam dunia. Permintaannya tinggi dan HSR KL-Singapura bakal menguntungkan,” kata Najib.
Najib menjelaskan, projek tersebut akan memajukan pembangunan negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia yang dilalui landasan HSR dengan pulangan ekonomi melebihi RM500 bilion.
Perkhidmatan tren itu juga akan mengurangkan pencemaran udara, menyediakan tambang yang lebih murah dan menyenangkan rakyat.
Projek tersebut akan memajukan lagi sektor pelancongan kerana Singapura merupakan hab penerbangan antarabangsa yang dikujungi ramai pelancong.
“Tapi malangnya Tun M tak faham benda macam ini. Dia lebih gemar buat kereta nasional ketiga dan projek kereta terbang.
“Sebab itu, keretapi laju tidak diperlukan. Rakyat boleh terbang ke sini ke sana dengan memandu kereta terbang,” sindir Najib.
Dr. Mahathir dalam kenyataan hari ini berkata, HSR hanya menjimatkan masa jika ia menempuh jarak yang jauh dan untuk jarak pendek masa yang dijimatkan adalah tidak penting.
Tambahan, menurut Mahathir pembinaan HSR sangat mahal.
“Ya, kita perlu membayar RM320 juta kepada Singapura. Itu kerana Najib membuat perjanjian bodoh itu.
“Meneruskannya akan lebih mengurangkan perbendaharaan, pada masa kita perlu membayar wang untuk pinjaman Najib,” kata Dr. Mahathir.-MalaysiaGazette