Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipenuhi dengan pelancong dari luar negara susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Endemik di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyaksikan peningkatan pergerakan penumpang domestiknya lebih enam kali ganda tahun ke tahun kepada 20.25 juta pada separuh pertama tahun ini.

Menurutnya, penyambungan semula syarikat penerbangan asing dan laluan antarabangsa telah menyumbang kepada prestasi memberangsangkan rangkaian lapangan terbangnya di seluruh negara.

Jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia berjumlah 4.54 juta orang pada bulan Jun 2022, membentuk 63% daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan itu sebanyak 7.21 juta, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA).

Malaysia merekodkan 1.29 juta penumpang trafik antarabangsa, manakala 3.24 juta penumpang domestik.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, trafik antarabangsa semakin baik berdasarkan prestasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lalu.

Jumlah trafik antarabangsa KLIA pada Jun lalu melepasi paras sejuta penumpang buat kali pertama sejak pandemik Covid-19, dengan 1.09 juta penumpang antarabangsa, meningkat 21% berbanding bulan Mei.

“Lapangan terbang antarabangsa lain dalam rangkaian tempatan MAHB juga mencatatkan peningkatan jumlah penumpang antara 35% hingga 66% pada Jun, berbanding bulan sebelumnya.

“Kami yakin ini akan bertambah baik dengan penyambungan semula lebih banyak syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kami,” tambahnya.

Operasi MAHB di Turki kekal konsisten dengan sejumlah 2.68 juta pergerakan penumpang pada bulan Jun, meningkat 3% berbanding bulan Mei. – MalaysiaGazette