Tangkap layar menunjukkan suspek (baju hijau) bersalam dengan mangsa (gambar kiri) sebelum menamparnya di bahagian bekalang kepala dalam kejadian di sebuah masjid di Lumut, Perak.

LUMUT – Hanya kerana tidak memandang muka ketika bersalaman menjadi punca lelaki memukul kepala seorang jemaah dalam kejadian di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, Isnin lalu.

Kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 30-an yang merupakan seorang tentera TLDM.

“Mangsa dikatakan bersalaman dengan lelaki yang tidak dikenali sebelum tiba-tiba dia menampar dengan kuat menyebabkan mangsa mengalami sakit pada belakang kepala dan telinga.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalam menyebabkan dia berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Hasil rakaman percakapan, mangsa tidak mahu untuk meneruskan siasatan dan menarik semula laporan polis.

“Kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video tersebut kerana kes ini telah selesai,” kata Nor Omar.

Terdahulu,  satu rakaman video berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki pukul di dalam sebuah masjid di Lumut tular di Twitter. – MalaysiaGazette