Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selangor.Foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini memilih 12 pimpinan sebagai ahli baharu badan itu secara lantikan.

Pelantikan itu dibuat setelah mendapat persetujuan daripada semua barisan kepimpinan Keadilan baharu bagi penggal 2022-2025 yang dimenangi pemilihan parti pada Ahad lalu.

Beliau berkata, Nurul Izzah Anwar antara pimpinan PKR yang dilantik semula sebagai Naib Presiden, selain lantikan baharu membabitkan Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Ahli Parlimen Putatan dari Sabah.

“Untuk naib-naib Presiden, sebanyak tiga pelantikan termasuk satu mewakili Sabah dan Sarawak. Saya mencadangkan Nurul Izzah, K.Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, malam ini.

Selain Nurul Izzah, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong turut dilantik semula masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung

“Saudara Saifuddin Nasution akan diminta meneruskan tugas Setiausaha Agung, manakala Bendahari Agung pula William Leong.

“(Manakala) Ketua Setiausaha Pengelola mesti dilantik dalam kalangan ahli MPP iaitu Zahir Hassan dari Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai lima pimpinan dilantik sebagai ahli MPP baharu termasuk Manivannan Gowindasamy, Christina Liew, Rodziah Ismail, Abun Sui Anyit dan R.Yuneswaran.

“Ada lima ahli MPP yang juga dilantik kali ini dan dipersetujui iaitu Manivannan, tokoh lama bergerak dalam parti, Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew dari Sabah, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang lama berkecimpung dalam kegiatan wanita.

“Abun Sui Anyit dari Sarawak dan seorang tokoh muda dari Johor yang bergerak aktif dalam AMK walaupun dia sekarang Ketua Cabang Tebrau,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang sebelum ini merupakan Pengarah Komunikasi dilantik untuk menggalas tugas sebagai Ketua Penerangan.

Sementara itu, Anwar berkata, tugas pertama Fahmi untuk menyusun perwakilan bagi mesyuarat MPP Pakatan Harapan (PH) yang akan bermesyuarat pada Selasa depan.

“Setiap parti akan diwakili tujuh orang termasuk ketua wanita dan ketua AMK, termasuk saya (presiden), Rafizi Ramli, Chang Li Kang, Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution,” katanya. – MalaysiaGazette