Timbalan Menteri Perdangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Lim Ban Hong (tengah) beramah mesra dengan para penerima anugerah MGDA pada Majlis Penganugerahan Malaysia Good Design Award 2021 (MGDA) & Certified Industrial Designer (CIDe) di The Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Bilangan produk yang memohon pengiktirafan Malaysia Good Design Award (MGDA) telah meningkat daripada 107 produk pada tahun 2015 kepada 326 produk pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pada tahun lalu dan 2020, sebanyak 252 produk daripada pelbagai kategori pula telah diterima untuk penilaian.

Jelas beliau, dari jumlah tersebut sebanyak 26 produk daripada 19 syarikat didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan pada tahun 2020 dan lalu.

Menurutnya, ia sekaligus membuat produk tersebut menerima pengiktirafan bagi tahun 2021.

“Pengiktirafan MGDA ini memberi peluang kepada 13 kategori reka bentuk yang merangkumi pelbagai produk.

“Antaranya produk ruang tamu dan bilik tidur; produk isi rumah, dapur dan bilik mandi; produk riadah, hobi dan sukan; dan produk seni bina dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Malaysia Good Design Award 2021 dan Certified Industrial Designer di sini malam ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Sulaiman Arshad.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, reka bentuk merupakan aspek penting yang perlu dititik beratkan dalam penghasilan sesebuah produk dan menjadi satu faktor penting dalam memperkukuhkan jenama, pembangunan produk dan juga meningkatkan daya saing sesebuah perusahaan.

Beliau berkata, melihat kepada pendekatan semasa industri tempatan, masih ramai di kalangan pemain industri yang mengamalkan pendekatan Original Equipment Manufacturer (OEM) kepada Original Brand Manufacturer (OBM) walaupun kerajaan telah menjalankan pelbagai kempen galakan transformasi kepada Original Brand Manufacturer (OBM).

“Dalam hal ini, MRM perlu memainkan peranan yang lebih agresif melalui program Creating Own Design as Own Brand bagi membantu industri tempatan dalam memberikan khidmat nasihat dan perundingan reka bentuk.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga amat berharap dengan adanya bimbingan reka bentuk atau elemen reka bentuk yang diperjuangkan oleh MRM, lebih banyak industri terutamanya di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memahami kepentingan reka bentuk dan menitik beratkan elemen reka bentuk dalam penghasilan produk mereka dan ini seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi eksport syarikat masing-masing.

“MRM disarankan untuk bertindak secara lebih agresif membimbing syarikat PKS tempatan dalam menambahbaik reka bentuk produk mereka.

“Program-program turun padang dan outreach perlu ditambah ke seluruh negara bagi mempertingkatkan kesedaran kepentingan reka bentuk yang berkualiti ke arah memperbaiki prestasi perniagaan.

Sementara itu, MGDA merupakan anugerah yang telah diperkenalkan sejak 1997.

Ia adalah pengiktirafan tertinggi untuk industri reka bentuk daripada kerajaa dalam menyokong produk yang menitik beratkan aspek reka bentuk yang baik sebagai kriteria penting dalam penghasilan produk tersebut. – MalaysiaGazette