Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sumber dari UMNO tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum hanya akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.

Sumber itu berkata, disebabkan perkembangan semasa yang menyaksikan cabaran ekonomi dan inflasi, kerajaaan perlu memberi perhatian penuh untuk memastikan langkah-langkah mengatasi inflasi dimasukkan dalam Bajet 2023.

“Selepas Bajet 2023 diluluskan, barulah mengadakan pilihan raya. Ini merupakan satu pendekatan yang baik,” katanya kepada China Press.

Ditanya sama ada pilihan raya sempat diadakan pada 2022, sumber itu berkata, perkara itu tidak menjadi masalah dan matlamat UMNO untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga tidak berubah.

Ditanya kemungkinan pakej rangsangan ekonomi dan bukannya Bajet yang dibentang sebelum pilihan raya, sumber itu berkata, langkah-langkah jangka panjang lebih sesuai untuk dimasukkan dalam Bajet berbanding pakej rangsangan.

Sumber itu juga percaya Bajet 2023 dapat diluluskan dengan segera dan “masalah teknikal” berkenaan kelulusan boleh diatasi.

Difahamkan, persediaan Bajet 2023 dilakukan lebih awal dengan pandangan dikumpul seawal Jun. Sesi pengumpulan pandangan sebelum ini hanya diadakan bermula Ogos.

Keadaan itu menimbulkan spekulasi bahawa persediaan awal adalah untuk membolehkan persiapan lebih teliti dalam menghadapi pilihan raya.

UMNO selama ini mahu pilihan raya umum diadakan lebih awal dan memorandum antara kerajaan dan pembangkang juga akan “tamat tempoh” pada 31 Julai sekali gus mewujudkan spekulasi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober.

Beliau menjelaskan, inflasi telah menjejaskan kehidupan rakyat dan kerajaan dijangka akan memberi “gula-gula” dalam Bajet 2023 untuk meringankan beban orang ramai.

Katanya, pilihan raya hanya akan diadakan apabila keadaan rakyat menjadi lebih selesa selepas pengumuman Bajet 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast