Tangkap layar daripada kamera litar tertutup kereta Honda Civic Type R milik warga Singapura yang dilarikan daripada tempat letak kenderaan sebuah pusat membeli belah di Genting Highlands baru-baru ini.

KUANTAN – Polis sedang mengesan individu yang disyaki melarikan sebuah kenderaan milik warga Singapura yang diparkir di tempat letak kenderaan sebuah pusat membeli belah di Genting Highlands baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kenderaan jenis Honda Civic Type R itu telah ditemui di sebuah kondominium di Putrajaya oleh pengawal keselamatan.

Katanya, mangsa yang berusia 28 tahun merupakan seorang eksekutif operasi di Singapura dan berada di pusat peranginan itu kerana bercuti bersama rakan-rakannya.

Beliau berkata, mangsa melaporkan kehilangan kenderaannya pada jam 6 petang Sabtu lalu setelah meletakkan kenderaannya  sehari sebelum hari itu.

Menurut Zaiham, suspek didapati telah menukar warna asal kereta terbabit.

Warna asal kenderaan milik lelaki warganegara Singapura yang dilarikan daripada tempat letak kenderaan sebuah pusat membeli belah di Genting Highlands (kiri), dan warna yang telah diubah oleh suspek (kanan)

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki suspek giat dijalankan pihaknya berdasarkan beberapa rakaman daripada kamera litar tertutup. – MalaysiaGazette