Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Polis menerima laporan daripada pemilik kelab komedi yang mendakwa ahli keluarganya menerima ugutan bunuh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan yang dilakukan semalam itu menyatakan isteri pengadu menerima ugutan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Ugutan yang dituju kepada pengadu itu disyaki ada kaitan dengan kes sebuah kelab komedi disimbah cat.

“Polis PJ ada menerima laporan polis yang dibuat oleh pemilik Mycomedy Sdn.Bhd.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, kes di siasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada Rabu lalu, sebuah portal berita melaporkan lelaki itu membuat laporan polis selepas isterinya menerima ugutan bunuh menerusi panggilan telefon pada jam 4 pagi sehari sebelum itu.

Difahamkan lelaki itu membuat laporan tersebut di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kerana bimbang keselamatan ahli keluarganya.

Semalam, kelab komedi itu disimbah cat berwarna hitam dan merah oleh dua individu dipercayai berpunca daripada tindakan Siti Nuramira Abdullah yang didakwa menghina Islam. – MalaysiaGazette