Sebuah kereta terbalik selepas kejadian hujan lebat yang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air.Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu hampir RM900 juta telah disalurkan kerajaan kepada negeri-negeri yang terkesan bagi mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid, bantuan itu merangkumi kes kematian kepada kerajaan negeri dan bantuan barangan asas serta bantuan pembaikan rumah.

“Sehingga 8 Julai 2022, jumlah peruntukan bagi bantuan bencana yang telah disalurkan ke negeri-negeri yang terkesan bagi mangsa bencana adalah RM887,860,500.00.

“Penyaluran ini bagi bantuan seperti berikut. RM290,880,000 untuk bantuan wang ehsan, bantuan barangan keperluan asas sebanyak RM487,172,500. Bantuan pembaikan rumah RM141,208,000.

“Daripada jumlah itu, Kelantan menerima peruntukan terbanyak dengan RM50,652,500,” katanya menjawab soalan lisan ketiga Dewan Rakyat hari ini.

Mastura berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui jumlah peruntukan bagi bantuan banjir yang telah disalurkan ke negeri-negeri yang terkesan bagi mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) bagi tahun lalu dan tahun ini.

Dalam pada itu, Mastura berkata, sejumlah 46 peratus mangsa di negeri Kelantan telah menerima bantuan masing-masing sementara 95 peratus sudah menerima bantuan keperluan asas dan 100 peratus mangsa telah menerima bantuan pembaikan rumah.

“Tempoh masa untuk menyelesaikan permasalahan ini adalah bergantung kepada betapa cepatnya kerajaan menerima makluat daripada semua majlis daerah dan disalurkan semula kepada kerajaan negeri dan terus ke kerajaan Pusat.

“Selepas daripada itu, akan dibuat pula saringan supaya tidak berlaku pertindihan dan juga salah fakta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette