KPDNHEP Perak tahan dua lelaki serta sita lori yang membeli diesel selain daripada tangki kenderaan tanpa kebenaran di Majung.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita dua buah lori muatan diesel bernilai RM51,817.90 dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Segari, Manjung semalam.

Serbuan jam 8.20 malam itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 31 dan 56 tahun yang sedang membeli minyak diesel di stesen minyak tersebut.

Pengarah KPNDHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di stesen minyak itu susulan terdapat aduan berhubung aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi selain tangki kenderaan.

Kata beliau, pemerhatian mendapati terdapat dua lori mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli diesel dan diisi ke dalam tong  plastik di belakang kenderaan.

Tangki simpanan diesel yang dirampas dalam lori tersebut.

“Menyedari hal tersebut, pasukan serbuan telah menahan dua lelaki tersebut dan siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dua tindakan kes telah diambil ke atas kedua-dua pemilik lori yang melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak 2,706 liter, sebuah lori 7 tan dan sebuah lori bounded,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MalaysiaGazette