Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika bercakap pada media selepas selesai Majlis Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKM) akan menggunakan platform media sosial kementerian berkenaan untuk membuat penghebahan kehilangan bekas pembaca berita Zalina Shaharah Azman.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, inisiatif itu diambil bagi membantu pihak berkuasa mencari Zalina yang hilang sejak November tahun lalu.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru pelbagai pihak bekerjasama dengan polis mencari bekas pembaca berita berkenaan.

“Saya lihat banyak juga badan bukan kerajaan (NGO), Datuk Ras Adiba Radzi pun turut sama membantu untuk mencari beliau.

“Di sini kita memerlukan kerjasama dari semua, walaupun berita kehilangannya November 2021 sekarang sudah Julai 2022 sudah lebih tujuh bulan.

“Kita sama-sama membantu, kita boleh uar-uarkan melalui platform-platform sosial media kementerian yang ada,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022, hari ini.

Selain berdoa agar Zalina akan ditemui dalam keadaan selamat, Rina juga berharap keluarganya tidak berputus asa untuk meneruskan pencarian.

“Saya simpati dan berdoa agar beliau dapat ditemui dalam keadaan selamat,” tambah beliau.

Baru-baru ini, media melaporkan polis giat mencari Zalina yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Ia susulan laporan polis yang dibuat anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya itu.

Polis percayai Zalina, 58, masih berada di dalam negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast