KUANTAN – Seorang penganggur ditahan di Bentong kerana disyaki mencuri motosikal pada Rabu lalu dalam pemeriksaan yang dilakukan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun itu mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang pada 20 Julai lalu ketika diletakkan di hadapan sebuah restoran di Bentong.
“Motosikal tersebut telah berjaya ditemui kurang dari 24 jam selepas dilaporkan hilang oleh pemiliknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, suspek telah ditahan dan di bawa ke ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya. – MalaysiaGazette