Sultan Ibrahim tinjau perkembangan kerja-kerja pembinaan projek RTS di Woodlands,Singapura pagi tadi.

SINGAPURA – Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura.

Sempena lawatan itu, baginda turut berkenan meninjau perkembangan semasa projek yang bakal menjadi satu sistem pengangkutan rel baharu menghubungkan Johor-Singapura.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

Baginda tiba di republik itu pagi semalam bagi lawatan rasmi di atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Lee Hsien Loong.

Pelaksanaan projek RTS Link bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura, kata satu kenyataan hari ini.

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

Merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Terminal Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura, RTS Link dijangka beroperasi pada penghujung tahun 2026.

Pengangkutan rel itu juga dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor sehingga 35 peratus dan mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar dan Woodlands.

Kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, dan ketika ini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu mampu disiapkan tepat pada masanya.

Bahagian kerja infrastruktur Malaysia termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.

Pembinaan sebelah Singapura bermula pada Mac 2021. Stesen kereta api itu akan menjadi salah satu yang terbesar di republik itu apabila siap dan akan menyediakan pautan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.

Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd, akan menjadi pengendali pautan metro baharu ini.- MalaysiaGazette