ABUJA- Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh selepas tiga bas berlanggar di jalan yang sibuk di negeri Kaduna di utara Nigeria.
Mereka yang maut termasuk kanak-kanak.
Nahas itu berpunca daripada tindakan terburu-buru pemandu, menurut Penolong Komander Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan di Kaduna, Abdulrahman Husaini Yakasai.
Kemalangan itu menyebabkan berlaku kebakaran besar dan kebanyakan mangsa maut dalam kebakaran itu.
“Mereka yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Universiti Ahmadu Bello di Zaria,” kata Yakasai.
Jumlah mangsa yang cedera tidak dimaklumkan tetapi ramai yang melecur teruk.
Yakasai berkata, polis sedang berusaha mendapatkan butiran penumpang bagi membantu mengenal pasti mangsa yang maut kerana kebanyakan mangsa rentung dan identiti tidak dapat dikenal pasti.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut sering dilaporkan di Nigeria, selalunya disebabkan oleh muatan berlebihan, keadaan jalan yang buruk dan pemanduan secara berbahaya. – Agensi