KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius masalah sosial seperti kejadian bunuh melibatkan dalam kalangan ahli keluarga yang berlaku mutakhir ini.
Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, hasil daripada penelitian agensi agama mendapati masalah itu berlaku disebabkan kerapuhan dalam institusi kekeluargaan.
“Mutakhir ini seperti dilaporkan media, kejadian bunuh dalam kalangan ahli keluarga sendiri amat mendukacita dan membimbangkan.
“Dalam masa sama, kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini.
“Disebabkan itu, maka pendidikan anak-anak akan menjadi terabai apabila ibu bapa mereka sering bergaduh dan berantakan,” katanya ketika merasmikan Seminar Lelaki Qawwam peringkat kebangsaan ‘Lelaki Dambaan Syurga’ di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Qawwam bererti bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurusi, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.
Menurut Idris, lebih parah lagi masalah itu berlaku apabila bapa mendera dan memukul fizikal isteri serta anak-anak.
Oleh itu, katanya, agensi Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyusun program yang membumi dan berimpak tinggi bagi memberi kesedaran kepada golongan berkenaan.
Kata beliau, pelbagai pihak seperti kaunselor, ahli akademik, pemimpin NGO, pihak anggota keselamatan perlu bergabung untuk menjayakan pengisian tersebut.
“Kepelbagaian latar belakang ahli dan pembicara akan memberikan maklumat dan ilmu yang komprehensif kepada kita semua.
“Sebagaimana kita maklum, lelaki adalah insan yang diciptakan Allah untuk memikul tanggungjawab utama dalam menerajui institusi kekeluargaan.
“Peranan mereka amat penting bagi memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia,” katanya.
Kata Idris lagi, tanggungjawab yang digalas kaum lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
Namun, senario hari ini seperti menampakkan sebaliknya apabila hampir saban hari masyarakat disajikan dengan kes golongan lelaki yang mengambil kesempatan ke atas kenaifan golongan wanita.
“Ayah dan datuk yang sepatutnya melindungi golongan wanita di bawah tanggungjawab mereka telah bertindak ibarat haruan makan anak.
“Begitu juga, si ayah yang sepatutnya berperanan sebagai ketua keluarga, tetapi tidak berfungsi dengan baik, bahkan tidak mampu menjadi figura dominan yang boleh dicontohi dan dihormati oleh anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, ketika persepsi umum menampakkan pelajar perempuan lebih ramai berada di menara gading, penghuni pusat serenti dan penjara pula dipenuhi majoriti golongan lelaki.
Tidak kurang juga, menurutnya, golongan remaja dan belia lelaki yang dilihat segelintirnya seolah sudah terhakis sifat kelelakiannya, bahkan cenderung ingin berpenampilan seperti wanita.
“Persoalannya, apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat Qawwamnya? Atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi?
“Namun saya yakin, impian untuk meramaikan lelaki Qawwam yang didambakan sebagaimana panduan daripada al-Quran dan Hadis masih dapat kita sama-sama realisasikan.
“Kita tidak mahu terperangkap dengan gerakan feminisme barat yang mahu menyamaratakan kedudukan lelaki dan perempuan atas dasar keadilan sosial, sehingga golongan lelaki dianggap bersifat patriaki atau terlalu mengongkong dalam semua aspek kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette