ANALISA keputusan SPM 2021 melaporkan penurunan prestasi pelajar dalam subjek bahasa Inggeris. Sebenarnya, trend penurunan ini telah mula kelihatan semenjak dari keputusan SPM tahun 2020 lagi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya di mana keputusan Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan. Situasi ini sudah tentunya menimbulkan kebimbangan bagi pelbagai pihak.
1. Berkeyakinan walaupun penguasaan Bahasa Inggeris rendah
Saya berpendapat bahawa kunci penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris adalah bermula dengan membina keyakinan menggunakan bahasa itu sendiri sama ada dalam pertuturan atau penulisan. Keyakinan di sini bermaksud, kita tidak takut berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tiada keyakinan biasanya disebabkan takut membuat kesilapan tatabahasa dan sebutan. Kita bimbang ditertawakan dan dilihat tidak bijak. Ini semua menyumbang kepada kurangnya atau tidak adanya keyakinan dalam berbahasa Inggeris. Jadi bagaimana kita mahu membina keyakinan diri ini? Saya berikan dua situasi. Yang pertama, cuba kita lihat bagaimana sesetengah peniaga tempatan yang tidak ada latar belakang bahasa Inggeris yang baik, yang sering dikunjungi pelancong asing, cuba berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun melakukan banyak kesalahan bahasa. Yang penting bagi mereka, maksud itu sampai kepada yang mendengarnya.
Seterusnya, yang kedua, jika imbas semula bagaimana kita menguasai bahasa ibunda kita masa kita kecil dahulu. Ianya bermula dengan percubaan kita untuk bertutur dahulu dengan melakukan beberapa kesilapan tatabahasa, pemilihan perkataan, penyusunan ayat dan sebutan. Kesilapan tersebut kadang-kadang dibetulkan atau kadang-kadang tidak sehingga kita sendiri sedar akan kesalahan tersebut. Hal ini adalah sama dalam kita mempelajari bahasa Inggeris. Kita perlu menggunakan bahasa itu dahulu sebelum mengetahui cara penggunaannya yang betul dari pembelajaran di sekolah atau dari sumber yang lain. Sebaliknya jika mula belajar bahasa Inggeris dengan mempelajari tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebutannya dahulu, tanpa menggunakan dalam pertuturan dan penulisan, kita semestinya tidak dapat membina keyakinan diri untuk menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa itu adalah untuk digunakan supaya kita dapat berkomunikasi. Oleh itu gunakanlah ia untuk berkomunikasi dahulu dan pelajari tentang tatabahasa dan yang lain-lainnya setelah keyakinan kita untuk menggunakannya diperolehi.
2. Mewujudkan sendiri suasana pembelajaran bahasa Inggeris yang kondusif
Malangnya, suasana untuk mempelajari Bahasa Inggeris di Malaysia adalah tidak menggalakan. Ramai yang lebih selesa menggunakan bahasa ibunda dalam pertuturan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mahupun orang lain. Jika kita telah terbiasa berkomunikasi dalam bahasa lain selain dari Bahasa Inggeris dengan mereka, adalah agak janggal sekiranya kita tiba-tiba menggunakan bahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan mereka. Bayangkan setelah bertahun-tahun menggunakan bahasa Melayu dengan ibu di kampung, dengan tak semena-mena kita bercakap bahasa Inggeris dengan dia. Jadi tidak realistik jika kita gunakan bahasa Inggeris dengan orang yang kita tidak biasa menggunakan bahasa tersebut.
Oleh itu, solusinya adalah mencari seseorang yang tidak janggal untuk kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tak perlu cari ‘Mat Salleh’. Memadai sesiapa sahaja termasuk rakan sekerja, rakan seuniversiti atau sesekolah yang biasa atau sering menggunakan bahasa Inggeris. Selain dari itu wujudkan suasana yang kondusif dengan mendengar saluran radio dan lagu bahasa Inggeris; menonton rancangan TV bahasa Inggeris, membaca surat khabar, majalah, komik, buku dan sebagainya dalam bahasa Inggeris; dan menulis diari, blog, status di media sosial atau apa apa bentuk penulisan yang santai dalam bahasa Inggeris. Dalam erti kata lain kita telah membuat initiatif sendiri untuk mewujudkan suatu persekitaran yang kaya dengan bahasa Inggeris yang selesa untuk diri kita sendiri. Jangan tunggu peluang datang untuk kita menggunakan bahasa Inggeris, sebaliknya, kita perlu pro-aktif dengan mewujudkan persekitaran kondusif itu sendiri.
3. Tingkatkan motivasi dalaman/intrinsik untuk belajar bahasa Inggeris
Seringkali kita berfikir yang kita mampu teruskan kehidupan jika hanya menggunakan bahasa Malaysia. Sehingga ada yang berkata, ‘Tak pandai cakap English pun, kita masih boleh makan dan hidup’. Pemikiran seperti ini membuatkan seseorang itu tidak bermotivasi menggunakan bahasa Inggeris. Kita sering berfikir bahawa kita boleh menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda yang lain untuk berkomunikasi dan tidak perlu berbahasa Inggeris. Ada juga sikap-sikap negatif yang mengejek dan mencemuh jika kita bercakap dalam bahasa Inggeris di mana kita dikatakan berlagak. Jadi kita berhenti mencuba untuk belajar menguasai bahasa Inggeris. Kita tidak sepatutnya mengkuti sahaja apa yang difikirkan atau dilakukan oleh kebanyakan orang lain. Motivasi dalaman/intrinsik kita perlu kuat. Jika kita didorang oleh motivasi intrinsik yang kuat, kita akan tergerak untuk bertindakuntuk keseronokan diri kita sendiri tanpa terlalu memikirkan halangan di luar sana.
Untuk menguasai bahasa Inggeris, kita perlu ada motivasi intrinsik yang mampu memuaskan diri kita sendiri tanpa mengikut orang lain. Contohnya, jika kita rasa kita tidak memerlukan bahasa Inggeris untuk ‘survival’, kita mungkin perlukan penguasaan yang baik dalam bahasa Inggeris untuk kepuasan diri atau peningkatan diri kita sendiri. Ini mungkin untuk peningkatan kerjaya, di mana peluang kenaikan pangkat atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi jika penguasaan Bahasa Inggeris kita meningkat. Selain dari itu, mungkin juga untuk motivasi peningkatan kendiri di mana kita akan rasa lebih berkeyakinan jika kita berkebolehan bertutur dalam lebih dari satu bahasa. Mungkin juga dengan berbahasa Inggeris kita akan nampak lebih yakin dengan diri sendiri. Oleh itu kita perlu sentiasa pujuk diri kita untuk sentiasa bermotivasi menggunakan dan mempelajari bahasa Inggeris dengan baik. Tepis sahaja segala pengaruh negatif disekeliling yang menjatuhkan motivasi untuk membaiki tahap penguasaan bahasa Inggeris kita.
4. Latih diri untuk berfikir dalam bahasa Inggeris
Apa yang ada dalam fikiran kita, itu yang akan keluar dari mulut kita. Jika kita berfikir dalam dua bahasa yang berbeza, maka apa yang keluar dari mulut kita juga adalah dalam dua bahasa itu. Melatih diri kita untuk berfikir dalam bahasa Inggeris adalah satu permulaan yang sangat bagus untuk membiasakan diri kita dengan penggunaan bahasa Inggeris. Jangan takut untuk cuba berfikir dalam Bahasa Inggeris sebab tidak ada sesiapa pun yang akan tahu jika kita membuat kesilapan dalam menggunakan bahasa Inggeris dalam fikiran kita sendiri.
Jika dalam fikiran kita, ada sesuatu perkataan yang kita tidak pasti maknanya atau cara penggunaannya, kita boleh rujuk dahulu dikamus atau mana mana sumber rujukan yang lain sebelum kita menuturkannya atau menulisnya. Saya masih ingat kata-kata guru bahasa Inggeris saya di sekolah dahulu supaya bermimpi dalam bahasa Inggeris untuk pastikan yang bahasa Inggeris itu bukan sahaja perlu keluar dari mulut kita tetapi perlu juga wujud dalam fikiran dan mimpi kita. Jadi latih fikiran kita supaya fikiran kita boleh mengawal percakapan dan penulisan kita.
5. Menyertai kelas bahasa Inggeris komunikasi
Ini adalah tips yang terakhir dan bagi saya merupakan langkah terakhir yang perlu diambil untuk mempelajari Bahasa Inggeris. Kebiasaanya, kita berguru dahulu untuk belajar sesuatu. Tetapi mempelajari bahasa adalah berbeza kerana ianya perlu digunakan dahulu sebelum kita mengetahui lebih lanjut tentang tatacara penggunaannya dari seorang guru atau sumber rujukan lain. Kebanyakan dari kita yang kurang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris, telah mempunyai bahasa pertama sama ada, bahasa Melayu atau bahasa lain. Ini menjadikan kita seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam menggunakan bahasa.
Di samping itu, kita juga ada pengalaman tentang dunia di sekeliling kita contohnya cara kita bertutur dengan seseorang. Contohnya, kita tidak akan bercakap dengan rakan kita seperti mana kita bercakap dengan guru atau sesorang yang kita hormati. Dengan kedua-dua pengetahuan bahasa dan pengalaman tentang persekitaran kita, sesorang itu mampu
belajar bahasa Inggeris dengan lebih baik. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu kita menguasai bahasa kedua atau Bahasa Inggeris yang dipelajari. Guru bahasa Inggeris yang berpengalaman biasanya akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada pada pelajar mereka ini untuk membantu pelajar mempelajari cara penggunaan bahasa Inggeris. Metod ini lebih berkesan berbanding dengan hanya mempelajari peraturan tatabahasa, sebutan, ayat dan sebagainya. Kelas bahasa Inggeris yang baik biasanya membantu pelajar berlatih menggunakan bahasa itu dalam konteks atau situasi yang tertentu dan menyediakan banyak latihan atau aktiviti menggunakan bahasa Inggeris yang boleh disertai pelajar.
Sebagai kesimpulannya, kebolehan berbahasa adalah anugerah dari Tuhan kepada manusia. Anugerah ini tidak diberikan kepada makhluk lain. Oleh itu kita perlu faham yang kita ada kebolehan semulajadi ini. Bermakna, tidak mustahil untuk seseorang itu untuk mempelajari lebih dari satu bahasa kerana ianya adalah sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua manusia. Tidak kira apa sahaja bahasa yang kita pelajari, kita mampu menguasainya dengan usaha dan initiatif yang betul. Jadi, janganlah kita berputus asa jika kita masih tidak boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Kita pasti mampu berusaha memahirkan diri kita untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana itu adalah kebolehan yang dianugerahkan kepada kita dan kita hanya perlu melakukannya dengan cara yang betul.
Dr. Shanina Binti Sharatol Ahmad Shah
Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya