Pemeriksaan rutin dijalankan penguat kuasa MBK di sekitar Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan semalam

KUANTAN – Sebuah restoran di Jalan Tanjung Lumpur di sini dikompaun RM1,500 dan diarah tutup semalam selepas kawasan dapur dan tempat penyediaan makanannya beroperasi dalam keadaan menjijikkan.

Sampah tidak dibuang ke dalam tong dan terbiar atas lantai di bahagian tempat penyediaan makanan selain tidak bersih.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Kamawati Kamal berkata, kesalahan itu dikesan sewaktu pemeriksaan rutin penguat kuasa MBK ke atas tujuh premis di sekitar pusat bandar.

Jelas beliau, kesemua lima pekerja penyedia makanan di premis restoran berkenaan juga didapati tidak menerima suntikan typhoid.

Pemilik premis dikenakan denda RM500 di bawah Seksyen 5 (a) Undang-Undang Kecil (UUK) Kawalan dan Penyeliaan Tempat-Tempat Makan manakala empat pekerja lain dikenakan denda RM250 seorang di bawah Seksyen 107 (2) dan Seksyen 17 (5) UUK Pengendali Makanan 1983.

Justeru, Nor Kamawati menasihati pengendali makanan supaya mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan bagi mengelak kemudaratan kepada pelanggan.- MalaysiaGazette