Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 JULAI 2022

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membuat permohonan baharu untuk mencabar kredibiliti saksi utama di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia berikutan percanggahan dalam keterangan lisan saksi, Rafiq Hakim Razali di mahkamah dan pernyataan saksi yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatan kes tersebut dilakukan.

Kenyataan bekas Penolong Bendari Armada kepada SPRM itu membabitkan lokasi dan waktu pertemuan perbincangan dengan Syed Saddiq serta tujuan pengumpulan dana yang dijalankan untuk membantu kempen atau program kebajikan Armada Bersatu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan 25 Julai ini untuk membuat keputusan permohonan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahnya berkata, permohonan pihak pembelaan itu satu kesalahan proses di mahkamah kerana mereka sebenarnya cuba untuk mendapat milikan kepada pernyataan tersebut.

Jelas beliau, ia  bukan untuk tujuan mencabar keterangan saksi utama kerana tiada lagi keperluan namun untuk melihat keseluruhan kandungan kenyataan tersebut dan ini tidak patut dibenarkan oleh mahkamah.

“Jika permohonan ini dibenarkan di mana ke mana hendak pergi kerana kerosakan telah pun berlaku iaitu suatu dokumen yang berbentuk keistimewaan.

“Adalah hujahan kami, status sesuatu dokumen unu yang direkodkan oleh pegawai awam tidak akan berubah statusnya tidak kira di peringkat mana sekali pun.

“Alasan pihak pembelaan di dalam permohonan mereka adalah sangat longgar dan satu penyalahan,” katanya.

Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo pula dalam hujahnya berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan 1950 untuk mendapatkan pernyataan saksi daripada SPRM.

“Kami memohon mahkamah menelitinya kerana kami berpendapat terdapat percanggahan dan mahkamah boleh memutuskan apa yang mereka mahu berikan kepada kami dan selebihnya kenyataan itu boleh diketepikan.

“Kami hanya mahu bahagian pernyataan tertentu yang diketengahkan,” katanya.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Syed Saddiq untuk mencabar kredibiliti saksi utama dalam perbicaraan kes yang dihadapinya itu.

Ahli Parlimen Muar itu memfailkan permohonan untuk mencabar keterangan Rafiq yang merupakan bekas Penolong Bendahari Armada, susulan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisan beliau di mahkamah.

Azhar Abdul berkata, pernyataan saksi Rafiq Hakim yang tidak dikemukakan kepada mahkamah, tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau.

Pada 7 Julai lepas, Gobind berkata, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan pembelaan memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti Rafiq Hakim meskipun dokumen yang dirujuk iaitu pernyataan saksi tidak dikemukakan kepada mahkamah oleh pendakwaan.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berkata, jika pembelaan ingin mencabar kredibiliti Rafiq Hakim, pernyataan saksi beliau selepas itu akan dikemukakan kepada mahkamah dan digunakan sebagai eksibit.

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Gobind berkata, pembelaan akan memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan pernyataan saksi Rafiq Hakim yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatan kes tersebut dilakukan.

Syed Saddiq, 29, berdepan dakwaan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan CBT terhadap RM1 juta dana milik sayap parti itu.

Beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan dana itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 8 2018.

Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri aktiviti pengubahan wang haram iaitu dua transaksi RM50,000 yang dipercayai adalah hasil aktiviti haram daripada akaun Maybank Islamic Berhad kepada akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette