Tuan Ibrahim Tuan Man UMNO PAS MN Muafakat Nasional Bersatu PN Perikatan Nasional government
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Luahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran di akaun Facebooknya hari ini, menggambarkan kesatuan dalam kepimpinan parti itu bagai retak menanti belah.

Tanpa menjelas lanjut, beliau merayu dan menyeru ahli Pas supaya membantu parti bukan menyusahkan jamaah atau pimpinannya.

“Wahai sahabatku, keberadaan kita dalam jamaah bukan untuk menyusahkan jamaah atau pimpinannya. Berusahalah bagi membantu jamaah dan kepimpinannya dalam apa jua situasi sama ada damai atau waktu berhadapan dengan mehnah.

“Kamu tidak akan merasai nikmat jamaah andainya kamu tidak berusaha melarutkan dirimu dalam jamaah,” tulisnya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sesungguhnya berada dalam jamaah tiada permaidani merah akan menyambut mereka.

Begitu juga, katanya, tiada pujian atau kalungan bunga mewarnai jalan perjuangan parti yang mewarisi jalan dilalui para Rasul tanpa mukjizat dan wahyu.

“Kita akan terus harungi perjuangan getir ini dengan penuh kesabaran dan tawakal. Lantaran itu, kita harus bersedia dengan apa yang kita ada dan alangkah indahnya nikmat ukhuwah yang ada dalam jamaah ini.

“Kita bersaudara besar yang melebihi hubungan keluarga dan darah keturunan. Nikmat ukhuwah ini tidak kamu dapati andainya kamu berada di luar jamaah. Apa lagi kalau engkau berada dalam kumpulan yang menentang Islam dan perjuangannya.

“Wahai sahabatku, ukhuwah dalam jamaah akan lahir bilamana kamu rasai hormat pada pimpinan dan sahabat seperjuanganmu. Engkau akan merasainya bilamana kamu dapat membezakan siapa sahabat dan siapa pula musuh kamu,” coretnya lagi.

Tuan Ibrahim turut melahirkan kebimbangannya dengan suasana ukhuwah dalam jamaah itu apabila ada antara mereka membuat kenyataan kepada kepimpinan parti dengan tiada adab dan hikmah.

Katanya, kadang kalanya juga mereka merasakan seolah pimpinan parti tidak mengetahui apa yang diketahuinya.

“Bahkan ada yang menegur pimpinan mengenai bahaya musuh seolah pimpinan tidak mengenali musuh.

“Wahai sahabatku, ukhuwah ini lahir dari hormat dan thiqah kita dan di waktu yang sama adalah akhlak kita. Engkau tidak mungkin merasainya tanpa sifat tersebut.

“Belajarlah menghormati orang lain atau pandangan yang berbeza dengan kita. Engkau perlu menghormati pimpinan dan sahabatmu kerana ia adalah sebahagian darimu dalam jamaah,” tegurnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast