Bersatu
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hadir bagi melawat persidangan sayap Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

KEDUDUKAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini diibaratkan bagai telur di hujung tanduk.

Parti itu ditolak secara total oleh Pakatan Harapan (PH) selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghempaskan pintu menutup segala kemungkinan untuk Bersatu berada di bawah ‘khemah besar’ PH.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Anwar pada sidang media selepas Kongres ke-16 PKR tamat pada Ahad lepas.

Masa depan Bersatu bertambah kelam selepas ketua sayap bukan Bumiputera parti itu, Edmund Santhara Kumar mahu keluar daripada Bersatu baru-baru ini. Bagaimanapun beliau kemudiannya menafikan laporan yang dibuat oleh media.

Pun begitu masih terdapat khabar angin bahawa ramai lagi pemimpin Bersatu merancang untuk keluar daripada parti yang diasaskan secara bersama oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beberapa penganalisis meramalkan parti yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin itu  terkubur selepas Pilihan Raya PRU15.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diiringi Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun serta barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu melaungkan ‘Bersatu’ pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

 

Label parti pengkhianat yang sukar untuk ditanggal

Suka atau tidak Bersatu kini dilabelkan sebagai ‘parti pengkhianat’. Label tersebut sukar untuk dipadam atau ditanggalkan. Label itu akan lekat sampai bila-bila.

Tindakan Bersatu keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) hingga menyebabkan Kerajaan PH pimpinan Dr. Mahathir runtuh amat sukar dimaafkan oleh ahli dan pemimpin PH terutama PKR yang mahu sangat melihat Anwar menjadi perdana menteri.

Tindakan Bersatu itu melukakan perasaan pemimpin sehingga terlalu sukar untuk dimaafkan apatah lagi untuk mengadakan kerjasama buat kali kedua dalam PRU walaupun demi menjatuhkan BN dan UMNO.

Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman
Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman

Penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, tidak ada sebarang jaminan Bersatu tidak akan mengkhianati buat kali kedua.

“Bersatu ini parti pengkhianat. Kita jelas menyatakan mereka dahulu bersama PH. Kemudian apabila Bersatu meranapkan PH dengan keluar daripada pakatan itu bersama-sama dengan (Datuk Seri) Azmin (Ali) sudah tentu dilabel sebagai pengkhianat.

“Kalau dia tipu sekali mengapa tidak boleh tipu dua kali? Apa jaminan? Tiada! Dalam politik tidak ada jaminan.

“Oleh itu Anwar mempunyai hak sebagai Presiden PKR untuk tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Bersatu,” kata Mohd. Zainul Fithri ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pendapat sama turut dikongsi oleh pemerhati politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli.

Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu berkata, apa yang dialami oleh Bersatu ketika ini adalah jelas disebabkan Langkah Sheraton yang diambil oleh Bersatu.

“Apa yang berlaku ada kaitan dengan Langkah Sheraton. Bila Anwar berkata begitu maksudnya dari segi kepercayaan dan kesetiaan itu telah terhakis.

“Mungkin pengalaman Langkah sheraton itu telah menyedarkan ramai daripada politikus yang menerajui parti politik utama khususnya pembangkang telah belajarlah bahawa mereka memiliki opsyen yang lebih ampuh dan lebih bagus,” kata Mohd. Amirul Akhbar.

Bersatu tidak lagi mempunyai kekuatan

Keluarnya pemimpin teras Bersatu seperti Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhirz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr. Maszlee Malik menyebabkan Bersatu menjadi tidak berpengaruh.

Parti itu yang ditubuhkan semata-mata bagi menguburkan UMNO dan pada PRU14 juga lemah kerana tidak mempunyai ahli akar umbi.

Jumlah keanggotaan yang kecil menyebabkan Bersatu dilihat sebagai parti pinggiran berbanding parti lama yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli.

“Bersatu dari segi kekuatan dalam PRU14 dia adalah parti politik yang paling kecil dan baru.

“Parti-parti politik pembangkang yang lain ini lebih ramai jumlah dia. Kekuatan Bersatu hilang seperti Mukhriz dalam Pejuang dan Syed Saddiq dengan Muda.

“Bersatu sendiri sudah berpecah dan kurang. Pada saya kalau mereka (pembangkang) tidak mahu Bersatu itu adalah satu pilihan kepada pembangkang,” kata Mohd. Amirul Akhbar.

Kelemahan Bersatu juga jelas kelihatan ketika Muhyiddin memegang tampuk pemerintahan negara.

Mohd. Zainul Fithri berpendapat, Muhyiddin dan Bersatu gagal menyerlahkan kebijaksanaan ketika memimpin negara selama 17 bulan selepas menjatuhkan PH.

“Tetapi apabila pegang 17 bulan pun gagal. Tidak mencerminkan kebijaksanaan dalam mentadbir sesebuah negara. Mungkin Tan Sri Muhyiddin mempunyai pengalaman yang besar ketika dalam UMNO iaitu Timbalan Perdana Menteri tetapi pemimpin Bersatu di bawah tidak ada kekuatan itu.

“PM tidak boleh mentadbir negara seorang diri. PM harus mentadbir dengan dibantu oleh ‘jeneral’ dan ‘leftenan’ untuk memajukan negara ini.

“Kestabilan politik itu mesti dijaga. Tetapi di dalam parti itu sendiri tidak ada kestabilan politik. Jadi kucar-kacir,” katanya.

Kematian Bersatu sudah terserlah

Banyak pihak meramalkan Bersatu akan mati. Ramalan tersebut dipegang termasuk ahli politik veteran Tun Daim Zainuddin yang merupakan sekutu kuat Bersatu pada PRU14.

Para perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

Menurut Mohd. Zainul Fithri, kematian Bersatu sudah terserlah dalam beberapa siri pilihan raya negari selepas parti tersebut hanya memenangi beberapa kerusi berbanding lawannya.

“Ramai yang meramalkan Bersatu ini akan mati. Ramalan ini dipegang oleh Tun Daim yang pernah berkata bahawa Bersatu, Pejuang akan hilang. Yang ada BN, PH, Pas.

“Kematian Bersatu sudah terserlah. Kemenangan di PRN tidak ada. Adalah satu, dua.

“Benda seperti ini telah memberi petunjuk bahawa Bersatu tidak diterima rakyat,” kata Mohd. Zainul Fitri.

Beliau menambah, parti sekutu Bersatu iaitu Pas juga mungkin akan mencari jalan keluar demi survival parti itu dalam PRU15.

“Dia macam ini, kalau kita berniaga dengan orang. Tengok orang yang meniaga itu tidak maju. Duit keluar lebih banyak. Tak akan kita nak duduk lagi dengan partner itu.

“Pas terpaksa keluar kerana parti ini akan kehilangan lebih banyak kerusi kalau bertanding atas nama Perikatan Nasional.

“Apa keuntungan yang Pas dapat? Bersatu guna jentera Pas. Bersatu tidak ada jentera. Makna segala peralatan yang ada pada Pas telah diguna oleh Bersatu,” kata Mohd. Zainul Fitri.

Bagi Mohd. Amirul Akhbar, Bersatu mungkin akan mengalami nasib yang sama menimpa parti serpihan UMNO yang lain seperti Semangat 46.

Ini kerana kebanyakan ahli Bersatu adalah ahli UMNO. Semangat 46 terbubar selepas kebanyakan ahli parti itu sedikit demi sedikit menyertai UMNO.

“UMNO akan kekal dominan sebagai parti orang Melayu. Pemimpin akan datang dan pergi, cuma ketika ini ada yang terpalit dengan pertuduhan belum lagi bersalahlah.

“Bersatu mungkin akan jadi cerita seperti Semangat 46 lah. Itu sahaja. Sebab orang Bersatu ramai orang UMNO. Kemungkinan itu berlaku. Tidak boleh ditolak,” katanya.

Mohd. Amirul Akhbar berkata, Bersatu hanya boleh kekal wujud sekiranya pemimpin parti itu mempunyai perancangan jangka panjang.

Parti itu perlu mengambil semangat penubuhan PKR yang daripada parti kecil yang tidak mempunyai kerusi dalam Parlimen kini menjadi antara parti utama di Malaysia. -Malaysia gazette