Ismail Sabri Yaakob

KOTA BHARU – Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan melalui pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan peruntukan RM124 juta khusus kepada 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, selain itu kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baharu secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan kerajaan.

Katanya di Kelantan, bagi memastikan ekonomi negeri digerakkan sepenuhnya, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu dalam menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion, dan dijangka menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu di samping 270 peluang keusahawanan.

“Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, melibatkan kos RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh. – Bernama

1 Komen

  1. TERIMA KASIH PM….Bukan seperti PM2 lepas menganaktirikan KELANTAN sebab MUSUH POLITIK…tapi ambil cukai hasil mahsul dari KELANTAN

Comments are closed.