Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Pemeriksaan terhadap kenderaan yang membawa keluar senjata api, peluru dan peralatan di pintu masuk antara Malaysia dan Singapura adalah pemeriksaan rutin oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan semalam di laluan lori (keluar) Malaysia-Singapura di Kompleks B, Bangunan Sultan Iskandar di sini pada pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang, ia diketuai oleh Pegawai Turus Pelesenan Kontinjen Johor.

Menurutnya, ketika itu polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah treler dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dan ia merupakan pemeriksaan rutin bagi setiap senjata, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api, sebagaimana surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.

“Kesemuanya diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk masuk ke Singapura selepas latihan ketenteraan bersama Angkatan Tentera Malaysia selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam satu pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp berdurasi 12 saat serta beberapa keping gambar berkaitan pemeriksaan itu menjadi tular di laman sosial.

Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa jua yang ditularkan di samping menyemak dahulu kesahihan sebarang maklumat yang diterima, dan menurutnya polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast