Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Polis mengenalpasti identiti mayat seorang lelaki warga asing yang ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini, pada 12 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mendapat bantuan daripada sebuah untuk mengenalpasti identiti mangsa.

“Kita telah megenal pasti identiti mangsa yang berusia lingkungan 40-an dengan bantuan kedutaan negara asal dia di sini, tetapi polis buat masa ini masih dalam proses mendapatkan pengesahan asid deoxyribonucleic (DNA).

“Ia dijangkakan mengambil sedikit masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan dalam proses untuk mengenal pasti punca kematian.

Menurut Mohamad Fakhrudin, dua suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an yang ditahan polis direman oleh polis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami sedang dalam proses melengkapkan siasatan dan sejurus selesai akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya iaitu pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

Polis dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian iaitu rumah suspek.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai pengawal keselamatan kondominium beekenaan.

Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian membawa kepada penemuan peralatan seks dari bilik mangsa. – MalaysiaGazette