Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berucap pada Program Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2022.

SUNGAI BULOH – Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil  berharap 11 wakil rakyat PKR yang melompat daripada parti itu akan masuk ke dalam ‘liang lahad politik’ apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

Menurutnya, RUU tersebut akan mula dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan dan akan menjadi akta yang akan menghalang wakil rakyat yang melompat parti daripada ‘terus hidup’.

Fahmi dalam ucapan pada program Jelajah Harapan Selangor siri ketiga di sini malam tadi turut mengucapkan ‘semoga berjaya’ kepada Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang dilaporkan keluar daripada Bersatu.

Dr. Santhara merupakan antara 11 Ahli Parlimen PKR yang keluar daripada parti itu dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas hanya 22 bulan memerintah.

Beliau dilaporkan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia pimpinan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga antara pemimpin PKR yang keluar daripada PKR pada Februari 2020.

“Apa rang undang-undang ini? Ia adalah rang undang-undang yang akan menjadi akta menghalang katak-katak politik daripada terus hidup. Katak-katak politik seperti di Gombak, Ampang, Selangau, Batu Pahat, Segamat.

“Hari ini Ahli Parlimen Segamat dia keluar nak masuk parti lain. Tak tahu nak pergi mana. Akhirnya saya harap dia masuk ke liang lahat politik.

“Dia buat sekarang sebab minggu depan sudah ada akta dia sudah tidak boleh lompat. Bila dia lompat dia akan kehilangan kerusi. Sekarang ini dia masuk parti Zuraida pun kita tak tahu dia boleh menang ke tidak. Good luck to youlah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Kelulusan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen merupakan antara syarat utama di dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara Pakatan Harapan dan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Akta itu bagi menghalang wakil rakyat daripada berpindah parti sehingga boleh menyebabkan sesebuah kerajaan yang dibentuk tumbang seperti yang berlaku ke atas Kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

“Minggu ini insya-Allah kalau kita lulus rang undang-undang lompat parti maka kita ucapkan kepada katak-katak politik inna Lillahi wa inna ilayhi raji’un. Selamatlah kamu di alam barzah politik. Stay there.

“Rakyat pun tak nak kamu. Yang penting rakyat hendakkan satu perubahan yang total. Rakyat hendak satu keadilan yang menyeluruh. Maka apa yang akan berlaku di Parlimen insya-Allah kita akan menyaksikan perkara ini,” kata Fahmi.-MalaysiaGazette