MELAKA – Melaka masih mengekalkan penggunaan bayaran secara tunai di semua fasiliti kesihatan di negeri negeri ini, selain membenarkan kaedah bayaran secara perbankan digital.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengumumkan semua fasiliti KKM dijangka menerima pembayaran tanpa tunai mulai Oktober ini.
Bagaimanapun, menurutnya, Melaka masih perlu mengekalkan kaedah konvesional iaitu memberi pilihan bayaran secara tunai kerana masih terdapat golongan tertentu yang belum mahir dengan kaedah bayaran secara elektronik.
“Itu (bayaran tanpa tunai) satu cadangan yang bagus tapi di Melaka ini banyak Klinik Kesihatan (KK) yang dalam kampung, ada makcik-makcik yang yang tiada aplikasi, kad debit dan kad kredit.
“Jadi bayaran tanpa tunai ini akan menyukarkan mereka, sebab itu kita menggalakkan kaedah bayaran tanpa tunai, tapi nasih kekalkan kaedah bayaran secara tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi Pulau-Pulau Taman Laut Negeri Melaka di Pulau Undan di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah. Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas TaniĀ Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Dalam satu pekeliling Ketua Setiausaha KKM bertarikh 21 Julai lalu menyatakan, pembayaran tanpa tunai sebagai pilihan kaedah transaksi itu ditetapkan menerusi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia Tahun 2021 bagi peringkat Persekutuan dan negeri.
Pembayaran boleh dibuat menerusi mod e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit dan e-dompet mulai 1 Oktober 2022, manakala pembayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai akses sedemikian.
Ia turut dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan hasil kerajaan, selaras dengan Pelan Antirasuah KKM 2021-2022. – MalaysiaGazette