Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangguhkan pelaksanaan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA wanita.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff selepas Kementerian Kewangan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan pelaksanaan kemudahan itu tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.

“Sebagai mematuhi saranan dan pandangan tersebut, JAKIM telah mengeluarkan surat penangguhan pemberian kemudahan tersebut pada 21 Julai 2022.

“JAKIM dalam usaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula kementerian itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hakimah, Januari lalu, Jakim telah mengeluarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk digunapakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA.

Antara perkara baharu dimasukkan dalam peraturan itu ialah Kemudahan Cuti Bersalin Berelaun Penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang berkuatkuasa yang sebelum ini tidak pernah diberikan.

Kata beliau, keputusan itu dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif JAKIM dalam menjaga kebajikan golongan Guru KAFA wanita yang bersalin.

“Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berpandangan pelaksanaan itu tidak sesuai kerana kedudukan status perjawatan guru berkenaan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

“Dalam perjumpaan itu, menteri membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA serta mencari jalan membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia JAKIM termasuk guru KAFA.

“Kita amat mengharapkan sokongan dan doa dari semua pihak agar usaha berterusan yang dibuat oleh kerajaan melalui Jakim selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette