Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Beliau berada dalam keadaan yang sangat sensitif terhadap persekitaran luar.

Lantaran itu, pihak hospital mengenakan prosedur operasi standard (SOP) sangat ketat dengan jumlah pelawat terhad kepada ahli keluarga sahaja.

“Bagi pihak Tan Sri Abdul Khalid, kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ke atas doa tidak putus-putus dari teman-teman dan seluruh rakyat Malaysia demi kesembuhannya.

“Kami dan pihak keluarga menerima banyak permohonan dari teman-teman rapat untuk berziarah bagi memberi kata-kata semangat dan sokongan. Kami amat menghargai hasrat dan niat teman-teman sekalian,” demikian menurut makluman yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau.

Keluarga Abdul Khalid meminta diberikan ruang kepada mereka ketika berhadapan situasi tersebut serta memohon orang ramai berdoa agar kesihatan beliau pulih seperti sedia kala dan keluarga diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian besar itu. – MalaysiaGazette