Dominic (tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai pembahagian kerusi parlimen bagi PN Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini selesai melakukan pembahagian kerusi bagi 13 kawasan Parlimen di negeri ini sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pembahagian kerusi itu membabitkan parti Gerakan, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, Dominic tidak mendedahkan jumlah pembahagian kerusi bagi setiap gabungan parti tersebut.

Jelas beliau, PN negeri juga telah membincangkan hal-ehwal dan persiapan dalam menghadapi PRU15.

“Semua parti komponen sudah menyerahkan senarai nama Ketua Badan Perhubungan kawasan Parlimen masing-masing supaya gerak kerja di kawasan itu dapat dimulakan dalam masa yang singkat untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“Ketua itu dinasihatkan turun ke padang dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing secara proaktif sebaik sahaja kerja pelantikan dimuktamadkan.

“Mereka (ketua yang dilantik) harus memahami isu yang dihadapi rakyat setempat selain memberi bantuan serta membela kepentingan rakyat tanpa mengambil kira bangsa dan agama,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Terdahulu, kepimpinan setiap komponen parti dalam PN Pulau Pinang mengadakan mesyuarat lebih dua jam sebelum pengumuman ini dibuat.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PN negeri, Zulkefli Bakar dan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Mengulas lanjut Dominic berkata, 13 ketua  perhubungan akan dilantik untuk mewakili kawasan parlimen di negeri ini namun sekiranya prestasi individu berkenaan memuaskan dia tidak akan dipilih sebagai calon PRU15.

“Mereka dilantik itu tidak semestinya dipilih sebagai calon bagi PRU akan datang. Malah gerak kerja kali ini mesti bersatu padu dan berjuang dalam satu pasukan supaya PN negeri mendapat keputusan yang baik dalam PRU nanti.

“Selain itu, PN Pulau Pinang akan mengadakan satu majlis pelancaran dalam masa terdekat bagi merangka pelan tindakan untuk menghadapi PRU akan datang.

“7 Ogos nanti merupakan hari ulang tahun kedua PN dan kami akan mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun pada hari itu termasuk menyerahkan surat pelantikan Ketua Badan Perhubungan Kawasan Parlimen,” jelas beliau.