Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positif pada minggu depan, didorong oleh sentimen pasaran serta selera risiko yang lebih baik apabila kebimbangan berkaitan inflasi dan kemelesetan global semakin reda, kata seorang penganalisis.

Berikutan itu, Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan menjangkakan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran 1,450 hingga 1,480 pada minggu depan.

“Saham-saham wajaran tinggi mulai pulih dan sentimen pasaran kita juga bertambah baik, terutamanya membabitkan kewangan.

“Malah, saham-saham itu telah memacu Bursa Malaysia ke dalam wilayah positif pada minggu lepas apabila FBM KLCI melepasi paras rintangan asas 4,600 dalam tempoh lima hari dagangan pada Jumaat. Ini merupakan satu prestasi yang amat memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.

Nazri juga menyifatkan sokongan daripada rakan dagang Malaysia, terutama China dan Amerika Syarikat (AS) turut memacu peningkatan bursa tempatan itu.

“Saham AS dan China berakhir lebih tinggi, dipacu oleh perkembangan pendapatan korporat yang positif, terutama dalam sektor perbankan dan teknologi,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau menjangkakan saham-saham sarung tangan dan perbankan akan mencatat sedikit pergerakan pada minggu depan.

Sementara itu, pada akhir dagangan Jumaat, FBM KLCI naik 15.48 mata atau 1.07 peratus kepada 1,465.80 berbanding 1,450.32 pada akhir urus niaga Khamis.

Bagi perbandingan mingguan, indeks penanda aras itu meningkat 47.36 mata kepada 1,465.80 daripada 1,418.44 pada akhir minggu sebelumnya.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 348.19 maa kepada 10,396.08, Indeks FBM Emas Syariah menokok 379.39 mata kepada 10,461.74, FBM 70 melonjak 455.02 mata kepada 12,450.03, Indeks FBMT 100 meraih 338.09 mata kepada 10,153.84 dan FBM ACE menambah 229.34 mata kepada 4,789.17.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 442.00 mata kepada 16,449.69, Indeks Tenaga meningkat 38.20 mata pada 642.84 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 10.31 mata kepada 177.04 manakala Indeks Perladangan menambah 210.52 mata kepada 6,866.25.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama kukuh dengan mencatat 6.80 bilion saham bernilai RM6.03 bilion berbanding 5.49 bilion saham bernilai RM4.20 bilion dalam minggu sebelumnya.

Jumlah waran juga meningkat ketara kepada 1.53 bilion unit bernilai RM327.00 juta berbanding 1.39 bilion unit bernilai RM256.90 juta pada minggu lepas.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 2.44 bilion saham bernilai RM572.31 juta daripada 1.29 bilion saham bernilai RM346.46 juta pada minggu sebelum ini. – BERNAMA