TASEK GELUGOR – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan gambaran laporan penuh kesediaan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada Ogos ini.

Menurut beliau, laporan kesesuaian mengadakan PRU15 akan diberikan selepas beliau bersama beberapa barisan kepimpinan tertinggi selesai mengadakan siri jelajah bersama kepimpinan BN seluruh negara.

Mohamad (tengah).

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, laporan itu akan dibentangkan kepada jawatankuasa pengurusan dan biro politik parti sebelum dihantar kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri sedang meneliti dan menunggu waktu yang sesuai (untuk PRU15) jadi kita perlu bagi ‘signal’ yang betul bahawa kita telah bersedia.

“Apabila kita bersedia, tiupan visel dibunyikan kita sudah tak ada masa dan perlu terus bekerja.

“Jadi kita akan habiskan (laporan bentang signal PRU15) pada pertengahan Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Melancarkan Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Pulai Pinang di Pusat Konvensyen Perda di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta beberapa pemimpin berkaitan termasuk daripada parti komponen lain dalam BN.

Ketika diminta mengulas mengenai persiapan BN Pulau Pinang menghadapi PRU15, Mohamad berkata, perjumpaan selama tujuh jam bermula 9 pagi itu menunjukkan kesiap siagaan melebihi 50 peratus.

“Pembentangan mereka amat membanggakan meskipun soal calon belum diputuskan. Soal calon biar kepimpinan parti tentukan. Paling penting kita kena susun gerak kerja berhadapan dengan DAP.

“Siapa sangka BN kalah pada 2018 malah negeri saya pun kalah juga. Jadi tak mustahil ia berlaku di sini sekiranya kita atur strategi dan keseragaman dalam membentuk pasukan menghadapi PRU15.

“Kita kena pastikan BN teratur dan bersedia  terlebih dahulu. Jangan ada perbalahan dalaman, jangan ada persengketaan dan yang paling penting sekali adalah keakraban BN itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette