Ahmad (kanan) dan Abdul Razak (kiri) cuba melekatkan terumbu karang pada bekas sebelum dilepaskan di perairan Pulau Undan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi Pulau-Pulau Taman Laut Negeri Melaka di Pulau Undan di sini Melaka hari ini.

MELAKA –  Cadangan mewartakan tiga buah pulau iaitu Undan, Nangka dan Dodol di sini sebagai Taman Laut Negara sudah di peringkat akhir sebelum diwartakan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, usaha melindungi serta memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik di ketiga-tiga pulau itu kini sedang giat dilakukan kementerian berkaitan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, Melaka mempunyai 16 buah pulau dan tujuh daripadanya antaranya, Pulau Undan, Pulau Besar, Pulau Nangka, Pulau Dodol, Pulau Hanyut, Pulau Lalang dan Pulau Serimbun berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan.

“Semua pulau-pulau ini yang kaya dengan habitat dan khazanahnya yang tersendiri terutama Pulau Undan, Nangka dan Dodol yang dikenalpasti mempunyai terumbu karang luar biasa di peringkat antarabangsa.

“Banyak karang yang ganjil tumbuh di ketiga-tiga pulau ini dan pewartaannya sebagai Taman Laut Negara sudah berada pada tahap akhir di peringkat Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi Pulau-Pulau Taman Laut Negeri Melaka di Pulau Undan di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani  Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ahmad Hamzah melepaskan ikan selepas Majlis Pelancaran Tukun Tiruan dan Mengelilingi
Pulau-Pulau Taman Laut Negeri Melaka di Pulau Undan, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, dalam usaha menjadikan ketiga-tiga pulau itu sebagai Taman Laut Negara, di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317), kementeriannya sudah membelanjakan lebih RM1 juta bagi merealiasikan pewartaannya.

“Melalui perwartaan ini, kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Melaka akan terjamin bagi mencapai obligasi negara di peringkat antarabangsa, iaitu Aichi Biodiversity Targets di bawah Convention on Biological Diversity.

“Kekayaan dan kepelbagaian biologinya yang mempunyai nilai ekonomi dan nilai komersial yang tinggi ini perlu diurus dan dipelihara sebaiknya agar memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada program itu, kementeriannya turut melabuhkan sembilan tukun tiruan konservasi di kawasan Pulau Nangka melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.

Pejabat Perikanan Negeri Melaka mula melabuhkan tukun di kawasan perairan Pulau Besar pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 2020 dengan jumlah keseluruhan tukun sebanyak 57 unit melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM910,000. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast