Anggota bomba sedang mengeluarkan lima beranak yang maut dalam kemalangan di Gerik, Perak semalam.

IPOH – Lima sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam selepas kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan lalu masuk di laluan bertentangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah Gerik ke Jeli yang masuk ke arah bertentangan, kemudian melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga terbabit.

murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Mior Faridalathrash Wahid.

“Mereka lima sekeluarga iaitu Ahmad Khomaini Baba, 32; isterinya, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; dan anak mereka, Zara Hana, 6; serta bapa fan ibu Siti Aishah, Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun disahkan meninggal di lokasi kejadian.

“Mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah, manakala pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami cedera serta dirawat di Hospital Jeli,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pemandu dan penumpang Toyota Hilux turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Tambah Mior Faridalathrash, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, terdapat empat penumpang dalam kenderaan Toyota Hilux tersebut dan kesemua mereka selamat.

Mereka mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai yang menggunakan jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu serta dapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini. – MalaysiaGazette

Lima sekeluarga maut dalam kemalangan babitkan dua kenderaan di Gerik